X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Harimau Kumbang alih tumpuan ke Piala Malaysia

Antara aksi menarik pertemuan Penang FC menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. -Foto Penang FC
A
A

PENANG FC kini beralih tumpuan kepada usaha memenangi Piala Malaysia pula setelah mengejutkan banyak pihak apabila menamatkan Liga Super di tempat ketiga selepas perlawanan terakhir pada Ahad,

Ketua Jurulatih, Tomas Trucha berkata, kejayaan yang dilakar kali ini tidak bererti barisan pemain boleh memandang ringan terhadap persediaan bagi menghadapi perlawanan dalam saingan lebih sengit dalam Piala Malaysia.

“Saya telah menetapkan perlawanan persahabatan buat pasukan pada minggu ini dan minggu hadapan sebagai satu daripada persediaan mereka menghadapi saingan dalam Piala Malaysia. Kita harus mendapat kekuatan penuh dan berusaha untuk menang,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Ahad.

Menurut Trucha, para pemain perlu membuktikan diri dan bekerja keras dalam latihan akan datang bagi merebut peluang bermain di Piala Malaysia kerana beliau tidak akan menurunkan pemain yang tidak memberikan kerjasama.

Sementara itu, mengenai status beliau bersama skuad Harimau Kumbang, Trucha berkata, beliau menyerahkan keputusan penyambungan kontraknya pada musim hadapan kepada pihak pengurusan Penang FC.

Katanya, perkara itu belum dibincangkan memandangkan pasukan memberikan tumpuan penuh kepada saingan Liga Super.

“Dalam masa sama, saya merasakan bahawa kebanyakan pemain harus dikekalkan. Mereka telah bekerja keras dan membuktikan bahawa mereka layak untuk dikekalkan dalam pasukan,” katanya.

Namun begitu, beliau berharap agar pasukannya sentiasa bekerja keras pada musim depan kerana saingan pastinya bertambah sukar apabila Penang FC kini dilihat sebagai pasukan berpotensi dan tidak lagi dianggap sebagai pendatang baharu.

Penang FC mengakhiri saingan Liga Super di tangga ketiga liga selepas mengutip 41 mata, 16 mata di belakang juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) dan dua mata di belakang naib juara Kedah Darul Aman (KDA) FC. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!