PDRM jamin keselamatan negara terkawal

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan atau menerima sebarang maklumat mengenai ancaman keselamatan terhadap mana-mana rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di negara ini, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata berdasarkan situasi semasa, PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal dan orang ramai diminta tidak gusar atau membuat sebarang spekulasi berhubung amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun kepada warganegaranya yang berada di sini.

"PDRM akan sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat, pemantauan juga akan dipertingkatkan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

"Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, media melaporkan Kedutaan Jepun di sini mengesahkan telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dandan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: