Peraturan baharu pulihara Taman Laut Pulau Payar

Taman Laut Pulau Payar di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia dan mengandungi empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Lembu, Pulau Kaca serta Pulau Segantang. -Foto Jabatan Perikanan Malaysia
Taman Laut Pulau Payar di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia dan mengandungi empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Lembu, Pulau Kaca serta Pulau Segantang. -Foto Jabatan Perikanan Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa peraturan baharu diperkenalkan kerajaan negeri Kedah bersama Jabatan Perikanan Malaysia dalam usaha untuk memulihara biodiversiti Taman Laut Pulau Payar di Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara langkah yang diambil adalah membenarkan hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan DOF Kedah untuk menjalankan aktiviti pelancongan di perairan taman laut tersebut.

Selain itu, beliau berkata, kemasukan pelancong di Taman Laut Pulau Payar dihadkan kepada 100 orang seminggu termasuk ditutup kepada pelancong pada Selasa dan Rabu.

"Taman Laut Pulau Payar juga akan ditutup kepada pelancong pada bulan Mac hingga Mei setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan kepada tinjauan inventori yang dijalankan jabatan bersama penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati Taman Laut Pulau Payar merupakan perumah kepada 154 spesies ikan karang dan 20 genera karang.

Menurutnya, kebanyakan spesies ikan di Taman Laut Pulau Payar adalah daripada kumpulan ikan bernilai ekonomi tinggi seperti kerapu, epinephelus sp dan ikan cupak atau 'bigeye trevally' (caranx sexfasciatus).

"Kerajaan negeri Kedah sentiasa menyokong segala usaha Jabatan Perikanan ke arah peningkatan sumber perikanan, seterusnya membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi komuniti nelayan serta penduduk tempatan," ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 17 unit tukun tiruan konservasi turut dilabuhkan pada Isnin di Pulau Segantang yang berada di kawasan Taman Laut Pulau Payar untuk memberikan manfaat kepada 10,981 nelayan melalui kesan limpahan ikan.

Artikel Berkaitan:

"Program melabuhkan tukun tiruan di kawasan taman laut tersebut sudah dimulakan sejak tahun 1975 di Pulau Telur. Kajian ke atas 83 tapak tukun tiruan di seluruh negara mendapati antara 129 dan 6,047 kilogram biomas ikan direkodkan dengan nilai sumber tertinggi dianggarkan berjumlah RM84,759.60.

"Antara tahun 2006 hingga 2010, Jabatan Perikanan telah membelanjakan sebanyak RMM2,993,930 bagi membina 11 tapak tukun konkrit bersaiz besar di Kedah.

"Tukun-tukun tiruan yang dilabuhkan ini secara langsung turut menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di negeri Kedah daripada 63,703 tan metrik pada tahun 2005 kepada 83,035 tan metrik pada tahun 2011," katanya.