Penjawat awam jangan sabotaj kerajaan: TPM

Wan Azizah (tengah) beramah mesra bersama Orang Kelainan Upaya Nor Asniza Ibrahim (duduk, kiri) dan Nura Adila Mohd Rashidi (duduk, kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Wan Azizah (tengah) beramah mesra bersama Orang Kelainan Upaya Nor Asniza Ibrahim (duduk, kiri) dan Nura Adila Mohd Rashidi (duduk, kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan penjawat awam yang berbeza pendirian politik supaya tidak melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan sedar ada kalangan penjawat awam yang mewarisi sokongan kerajaan lama.

Dr Wan Azizah berkata penjawat awam boleh berbeza dari segi fahaman politik namun untuk berkhidmat kepada rakyat adalah tidak wajar menggunakan perbezaan kelompok, kaum dan agama sebagai penghalang.

“Kerajaan faham dan hormati pendirian politik masing-masing. Namun saya ingin mengingatkan supaya jangan ada unsur-unsur sabotaj,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Mengenai usaha penjawat awam memanfaatkan media sosial sebagai ejen penyampai maklumat dan promosi perkhidmatan kepada masyarakat, beliau berkata ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam supaya mengetahui batas-batas perhubungan dalam komunikasi serta mematuhi etika penggunaan media sosial.

"Walaupun untuk mempertahankan diri jangan sesekali membalas kritikan netizen dengan bahasa yang kurang sopan," katanya.

Dr Wan Azizah juga menasihatkan penjawat awam supaya tidak menjadi ejen berita palsu dan memeriksa terlebih dahulu apa-apa berita.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu mengenai peringatan beliau supaya penjawat awam tidak menyebarkan berita palsu, Dr Wan Azizah berkata : "Whatever is said and done, if it is not true it cannot be taken into account. You have to verify."(Apa juga yang diperkata dan dilakukan, jika ia tidak benar ia tidak boleh diambil kira. Anda perlu mengesahkan.”)

Seramai 644 petugas KPWKM, jabatan dan agensi di bawahnya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang hari ini termasuk 10 penerima warga kurang upaya. - Bernama