Imigresen sangkal dakwaan MTP sebabkan kelewatan keluar masuk negara

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyangkal dakwaan sebuah portal tempatan yang mengulas mengenai kemudahan My Travel Pass (MTP) didakwa telah menyebabkan kelewatan dalam urusan perjalanan keluar masuk negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya merujuk surat kepada pengarang yang diterbitkan portal berkenaan pada Isnin bertajuk 'Travel Pass Causing Delays'.

Beliau berkata, secara umumnya surat berkenaan mendakwa keperluan MTP tidak diuar-uarkan kepada umum.

"Satu sidang media telah diadakan pada 7 Oktober lalu memaklumkan kepada umum mengenai permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warga Malaysia dan asing perlu dibuat melalui sistem My Travel Pass.

"Pengumuman ini mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa. Sehingga hari ini Imigresen sentiasa membuat hebahan kepada umum melalui media massa dan media sosial," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bermula 7 Oktober 2020 hingga 10 September lalu, sebanyak 356,510 permohonan telah diterima pihaknya.

"Sebanyak 6,697 permohonan dibatalkan, selain 208,509 diluluskan dan 127,465 ditolak.

"Jumlah yang diproses pula ialah sebanyak 13,000 permohonan yang diuruskan oleh tiga pasukan petugas. Jumlah ini tidak pernah berkurangan, malah meningkat setiap hari," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, penguatkuasaan MTP adalah selaras dengan sekatan perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penguatkuasaan MTP adalah bagi mengawal pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan virus Covid-19. Ini terbukti apabila setakat Ogos lalu, kes import positif Covid-19 yang direkodkan adalah kurang daripada 0.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia.

"Tempoh masa proses permohonan terpaksa dinaikkan daripada tujuh hari kepada 14 hari kerana keperluan tambahan masa proses diperlukan.

"Ini disebabkan jumlah permohonan bertambah dan merupakan rentetan daripada kesan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi sehingga mengakibatkan jumlah pengembara perniagaan meningkat," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan semua pengumuman dan peraturan terkini kerajaan serta membuat semakan mengenai prosedur berkaitan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

"Selain itu, semua syarat permohonan perlu difahami dan keperluan permohonan seperti lampiran dokumen perlu dipenuhi sebelum menghantar permohonan.

"Penilaian teliti perlu dibuat bagi mengelakkan penularan kes import positif Covid-19 merebak masuk ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini MTP di laman web rasmi www.imi.gov.my atau mengikuti media sosial rasmi di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan Telegram.