MAHB mampu tangani kejutan pandemik

MAHB yakin bahawa ia mampu menangani kejutan seperti Covid-19 dengan aliran tunai yang kukuh. Gambar hiasan
MAHB yakin bahawa ia mampu menangani kejutan seperti Covid-19 dengan aliran tunai yang kukuh. Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) yakin bahawa ia mampu menangani kejutan seperti Covid-19 dengan aliran tunai yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pengendali lapangan terbang itu berjaya memperoleh kemudahan kredit pusingan bernilai lebih daripada RM1.35 bilion dari lima bank.

"Ia juga memiliki sukuk bernilai RM1.8 bilion yang belum dipakai termasuk wang tunai antara RM1.3 bilion hingga RM1.4 bilion," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MAHB ke-22 pada Isnin.

Secara keseluruhan, opsyen kewangan ini akan membolehkan MAHB mengekalkan operasinya selama 12 hingga 15 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom menjelaskan, sudah ada tanda-tanda bahawa pemulihan pasaran akan bermula pada 2022 dengan pemulihan sepenuhnya dijangka dicapai menjelang 2023.

“Ini bermakna kira-kira 12-15 bulan lagi dan jika kami mampu mengatasinya, dalam erti kata lain, keadaan hutang adalah ‘okay’ memandangkan penggunaan tunai akan terus berkurangan dan dengan peningkatan trafik penumpang susulan pelonggaran perjalanan, penggunaan tunai akan terus menurun lebih jauh lagi kepada lebih kurang RM40 juta.

"Oleh itu, walaupun dalam jangka masa 10 bulan, dengan andaian kedudukan semasa tidak berubah, kami melihat kepada kira-kira RM500 juta perbelanjaan tunai, namun kemudahan kredit kami adalah jauh melebihi jumlah tunai terkumpul tetapi tentu saja, kami berharap keadaan akan semakin baik dan pulih lebih daripada apa yang kami jangkakan.

“MAHB sebenarnya berada dalam keadaan selesa untuk 10-12 bulan akan datang dengan kredit yang kami ada,” kata Mohamed Rastam.

Artikel Berkaitan:

Tahun kewangan 2022 MAHB dijangka lebih baik berbanding dengan tahun kewangan 2021 tetapi bergantung dengan seberapa cepat sempadan antara negeri akan dibuka.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai suku keempat tahun kewangan 2021 berharap kerugiannya dapat dikurangkan.

“Pada suku pertama, kedua dan ketiga, sekatan pergerakan masih ketat dan kami tidak mempunyai perjalanan antara negeri.

"Bagi suku keempat, harap-harap dengan pembukaan Langkawi dan tentunya perbatasan antara negeri lain, kami akan dapat melihat sedikit momentum daripada segi trafik penumpang yang seterusnya mengurangkan kerugian MAHB. Itulah sebabnya kami agak optimis dengan suku ini," katanya.

Kumpulan mencatat kerugian bersih berjumlah RM1.11 bilion pada tahun kewangan 2020 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM537.04 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan menyusut kepada RM1.87 bilion daripada RM5.21 bilion yang dicatatkan sebelumnya kerana kesan global pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan yang berpanjangan di Malaysia termasuk di negara-negara lain.

Pengerusi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata MAHB berharap agar kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuka perjalanan antara ASEAN dan sektor antarabangsa yang lain bagi membolehkan lebih banyak orang menggunakan pengangkutan udara, bergantung kepada keadaan Covid-19.

“Kalau kerajaan melonggarkan dasar perjalanannya lagi, kami mungkin akan melihat aliran kenaikan pergerakan penumpang," katanya.

MAHB juga merancang untuk terlibat secara langsung dalam sektor kargo dan kini sedang berunding dengan rakan kongsi yang berpotensi.

Pada masa ini, terdapat tiga peneraju dalam industri berkenaan iaitu Post Aviation, GTR (Ground Team Red) dan Malaysia Airlines Bhd (MasKargo).

MAHB menjangkakan jumlah kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan meningkat dua kali ganda kepada 1.4 juta tan menjelang 2029 daripada 700,000 tan sekarang ini. - Bernama