X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Pasar Awam Taman Selamat dibuka semula

Rozali
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pasar Awam Taman Selamat yang sebelum ini diarahkan tutup selama 10 hari berikutan terdapat kes positif Covid-19 dibenarkan beroperasi semula pada 16 September ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, selepas diarahkan tutup sejak 6 September lalu, kesemua peniaga dan pembantu juga dikehendaki membuat ujian saringan.

Menurutnya, hasil ujian saringan sehingga Isnin mendapati sebanyak 12 kes positif Covid-19 melibatkan empat orang peniaga dan lapan orang pekerja.

"Walaupun dibenarkan beroperasi semula, MBSP mengingatkan agar mana-mana peniaga atau pembantu sekiranya masih berada dalam pengawasan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan belum tamat tempoh kuarantin, mereka tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti di dalam pasar terbabit.

"Selain itu, mana-mana pembantu yang disahkan positif, manakala pihak majikan (pemilik premis) pula negatif ujian saringan, pihak majikan tersebut turut diminta untuk menutup sementara operasi jualan mereka selama 10 hari bermula dari tarikh pembantu mereka disahkan positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rozali berkata, arahan itu dibuat bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran semula virus Covid- 19 di lokasi tersebut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana peniaga yang tidak menjalankan ujian saringan (RTK-Antigen / RT-PCR) melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik swasta serta mendapat surat pelepasan daripada KKM untuk membuka semula operasi perniagaan.

Katanya, hanya peniaga yang sudah menjalankan salah satu ujian saringan dan disahkan negatif serta tamat tempoh kuarantin sahaja akan dibenarkan membuka semula operasi perniagaan mereka.

Sementara itu, Rozali berkata, Pasar Awam Sungai Dua diarahkan supaya menghentikan operasi selama tiga hari bermula Rabu depan berikutan terdapat empat kes positif Covid-19 melibatkan tiga orang peniaga dan seorang pembantu

"MBSP mengambil maklum kegusaran orang ramai berhubung kes positif yang berlaku di pasar awam ini. Pihak MBSP juga sentiasa berhubung dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan kes ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!