Azmin sertai semula Mesyuarat AEM

Mohamed Azmin meneruskan agenda menyertai semula Mesyuarat AEM ke-53 sebaik sahaja selesai menghadiri sidang Parlimen pada Isnin.
Mohamed Azmin meneruskan agenda menyertai semula Mesyuarat AEM ke-53 sebaik sahaja selesai menghadiri sidang Parlimen pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meneruskan agenda menyertai semula Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 sebaik sahaja selesai menghadiri sidang Parlimen pada Isnin.

Dalam mesyuarat berkenaan, beliau bertukar pandangan dengan Presiden Gabungan Switzerland, H.E. Guy Parmelin dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dengan ASEAN dan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Kami membincangkan beberapa perkara, antaranya komitmen bersama membantu perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan kemahiran dan pengetahuan teknikal agar mampu menjadi sebahagian daripada ekosistem digital global.

“Saya dan H.E. Guy Parmelin turut bersetuju bahawa kedua-dua sektor awam dan swasta dari ASEAN serta Switzerland harus terus menjalin kerjasama erat bagi membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirai dengan perasmian daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.

Artikel Berkaitan: