Sila log masuk terlebih dahulu.

Waspada penularan varian Mu

Varian Mu telah ditemui di 46 negara termasuk Asia iaitu Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
Varian Mu telah ditemui di 46 negara termasuk Asia iaitu Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta berwaspada terhadap varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai Mu dengan memberikan perhatian terhadap perkembangan penyebaran virus itu.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana varian Mu tidak boleh dibiarkan memusnahkan usaha negara dalam memerangi wabak.

Menurutnya, data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 6 September melaporkan, varian Mu telah ditemui di 46 negara termasuk Asia iaitu Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

"Negara mesti mengambil langkah pencegahan berdasarkan cadangan pakar epidemiologi dan menggunakan pendapat dan maklumat dari negara lain untuk membuat penyesuaian tepat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dominic berkata demikian mengulas laporan media baru-baru ini yang mengatakan varian Mu dan Lambda disyaki telah muncul di Labuan, Sabah.

"Walaupun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kemudian menyatakan bahawa kedua-dua kes yang diimport itu lebih tinggi cenderung kepada varian Delta.

"Tetapi (dalam masa sama) pihak berkenaan sekarang sedang melakukan ujian genom terhadap virus tersebut dan ancaman daripada varian itu belum boleh diangkat," katanya.

Beliau sehubungan itu meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar terus berwaspada dengan keadaan dan perkembangan yang berlaku di Labuan.

Artikel Berkaitan:

Dominic berkata, varian Mu pada awalnya dijumpai di Colombia dan menyebabkan wabak gelombang ketiga di sana malah dua pertiga daripada 700 orang yang meninggal dunia di negara itu setiap hari akibat virus Covid-19 yang dijangkiti varian Mu.

"Penyelidikan semasa mengetahui bahawa varian ini mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi serta daya tahan lebih kuat dan mungkin juga mempunyai kemampuan untuk ‘melarikan diri’ daripada sistem kekebalan tubuh," katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga harus memantau wabak dari Colombia, Jepun, India, Hong Kong dan Korea Selatan dengan mengetatkan pemeriksaan di pintu masuk negara untuk mencegah varian Mu dari luar negara memasuki Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, rakyat yang masih belum menerima vaksin digesa untuk mengambil suntikan vaksin secepat mungkin kerana ia merupakan cara paling efektif untuk melawan Covid-19.