Maritim bantu bawa pesakit kritikal perlu pembedahan segera

Mohd Taufik tiba di jeti Maritim Bukit Malut untuk dibawa ke Jeti Kastam Kuala Perlis dengan diiringi seorang pegawai perubatan pada malam Ahad. -Foto: Maritim Malaysia
Mohd Taufik tiba di jeti Maritim Bukit Malut untuk dibawa ke Jeti Kastam Kuala Perlis dengan diiringi seorang pegawai perubatan pada malam Ahad. -Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kedah dan Perlis membantu membawa seorang pesakit kritikal yang perlu dibedah segera melalui misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) pada malam Ahad.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bantuan tersebut telah dimohon oleh Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk membawa pesakit, Mohd Taufik Osman, 23, yang menghidap penyakit cerebral toxoplasmosis iaitu jangkitan kuman pada bahagian otak.

Menurutnya, pesakit perlu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana memerlukan pembedahan segera.

"Misi bantuan yang digerakkan pada jam 10 malam menggunakan Bot PERKASA 1228 Maritim Malaysia dari jeti Maritim Bukit Malut ke Jeti Kastam Kuala Perlis dengan diiringi seorang pegawai perubatan.

"Misi ini turut disertai dua petugas kesihatan selain ditemani seorang ahli keluarga pesakit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia mengawal perairan negara sebaik mungkin termasuk sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat.

Artikel Berkaitan: