Sila log masuk terlebih dahulu.

Kehilangan besar namun BAM hormat keputusan Jin Wei

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akur dengan keputusan mengejut yang diambil bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei untuk bersara awal daripada sukan berkenaan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires itu pernah menyatakan hasrat untuk bersara sejak bulan lepas berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.

“Memang amat menyedihkan buat kami tetapi atas sebab perubatan, kami menghormati keputusan beliau. Kami sebenarnya ke arah pembentukan pasukan baharu. Apabila saya mendengar tentang ini pada mulanya, saya telah menghubunginya untuk perbincangan secara dalam talian pada 16 Ogos dan secara dasarnya beliau menyatakan ia berhubung kait dengan isu perubatan selepas pembedahan kerana tidak dapat mengikuti rejim latihan yang ketat.

“Beliau berkata mahu bersara dan beralih kepada fasa kehidupan lain. Kami cadangkan agar bersara selepas Piala Uber tetapi beliau mengumumkannya lebih awal...Saya bersamanya ketika menjalani pembedahan, saya ingatkan keadaan bertambah baik, tapi sebaliknya memberi kesan kepadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jin Wei mengejutkan peminat badminton tanah air apabila mengumumkan persaraannya sebagai pemain perseorangan wanita negara pada usia 21 tahun kerana masih bergelut dengan tahap kesihatan selepas mengalami masalah di bahagian perut sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus pada pertengahan 2019.

Mohamad Norza berkata, ketika perbincangan dalam talian itu, beliau menawarkan agar Jin Wei mendapatkan rawatan dengan pakar luar negara untuk membolehkannya kembali seperti menghantar pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying ke Jerman pada 2017.

“Apabila membincangkan mengenai masalah perubatan, saya katakan padanya saya sanggup menghantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatan, itu adalah tawaran saya, beliau berkata akan memikirkannya. Pada masa sama, (Pengarah Kejurulatihan BAM) Wong Choon Hann dan (Setiausaha Agung) Datuk Kenny Goh juga bercakap dengan beliau dan ibunya,” tambah Mohamad Norza.

Pada 2017, BAM menghantar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 Liu Ying ke Sportklinik di Halle, Jerman bagi menjalani rawatan akibat kecederaan di bahu pemain itu.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai pengganti Jin Wei untuk saingan Piala Uber yang dijadual pada 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark, Mohamad Norza berkata beberapa pemain perseorangan wanita, S Kisona, Eoon Qi Xuan, K. Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jin Wei. - Bernama