Lelaki miliki pil kuda, air ketum dicekup

Pil kuda dan botol air ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Jintan, Chetok, Pasir Mas pada Isnin.
Pil kuda dan botol air ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Jintan, Chetok, Pasir Mas pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki dicekup kerana memiliki 24 biji pil kuda dan dua botol air ketum dalam serbuan di Taman Jintan, Chetok di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, pihaknya turut merampas tujuh ikat daun ketum yang dimiliki oleh suspek berusia 22 tahun tersebut.

"Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, soal siasat suspek mengaku pil kuda dan daun ketum yang dirampas itu adalah miliknya.

Menurutnya, semasa ditahan dan pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan ke atas sebuah beg silang yang dipakai oleh suspek membawa kepada penemuan 24 biji dadah dipercayai pil kuda.

"Air dan daun ketum itu kita temui di bahagian dapur rumah tersebut dan turut merampas dua buah motosikal di luar rumah suspek.

"Pemeriksaan ke atas motosikal jenis Honda C70 telah menjumpai kesan canai pada nombor enjin dan casis," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 mendapati ia mempunyai hubung kait dengan satu laporan yang telah dibuat di Balai Polis Tok Uban.

"Suspek kini ditahan untuk membantu siasatan," katanya.