Kontrak Naib Canselor UKM tamat tiada kaitan kontroversi

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan. - Foto Bernama
Prof Tan Sri Dr Noor Azlan. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Tempoh tamat kontrak Prof Tan Sri Dr Noor Azlan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tiada kaitan dengan kontroversi program wacana membabitkan aktivis sosial Hishammuddin Rais seperti dilaporkan media.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini menjelaskan pelantikan Noor Azlan seperti ditetapkan dalam kontrak ialah sehingga 31 Disember 2018.

"Bahkan langkah mengenal pasti calon pengganti telah dibuat sejak beberapa bulan yang lalu.

"Oleh itu, KPM memohon kerjasama pihak media agar mengelak daripada menyiarkan laporan yang tidak tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan," katanya.

KPM berkata Menterinya Dr Maszlee Malik turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Noor Azlan atas sumbangannya yang telah menerajui UKM sejak tahun 2014.
Artikel Berkaitan:


Baru-baru ini, media melaporkan perkhidmatan Noor Azlan sebagai Naib Canselor UKM akan berakhir pada hujung tahun ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial tersebut.

Sebelum ini, Maszlee dilaporkan menegur tindakan Noor Azlan supaya tidak menutup ruang intelektual di universiti. - Bernama