Ingkar kuarantin kendiri: Polis rekod keterangan Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah merekodkan keterangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu telah diambil keterangan pada 10 September lepas iaitu selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk melengkapkan kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Siasatan kes itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan setakat ini di mana tiga individu telah direkod keterangan berhubung perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng sangkal dakwaan langgar kuarantin kendiri

Pada 8 September, jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafaf membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri selepas peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.

Bagaimanapun, Guan Eng telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri dan berkata, beliau hanya dimaklumkan pada 2 September berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN. - Bernama

Artikel Berkaitan: