Pembuangan PPE sembarangan ancam alam sekitar: Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9 2019/2020 Kategori 'Eateries & Food Outlet' kepada Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Fredrick (kanan) mewakili AP Mega Jaya Sdn Bhd hari ini.- Foto Bernama
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9 2019/2020 Kategori 'Eateries & Food Outlet' kepada Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Fredrick (kanan) mewakili AP Mega Jaya Sdn Bhd hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pembuangan secara sembarangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) seperti pelitup muka ketika pandemik Covid-19 boleh memudaratkan alam sekitar, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB) pada 2020, penghasilan sisa perubatan di bandar raya seperti Manila, Kuala Lumpur, Hanoi dan Bangkok meningkat antara 154 hingga 280 juta tan sehari berbanding sebelum pandemik.

“Laporan (ADB) itu menganggarkan bahawa dengan pemakaian pelitup muka pada tahap 80 peratus dan 27 peratus populasi bandar, Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 7.05 juta pelitup muka terpakai setiap hari bagi 32.4 juta populasi negara ini, manakala Sarawak berkeupayaan menghasilkan 628,000 pelitup muka terpakai bagi 2.91 juta populasi negeri ini,” katanya.

Bercakap pada Majlis Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Sarawak 2019/2020, Abang Johari angin atau air hujan boleh menghanyutkan PPE ke dalam anak sungai atau sungai dan seterusnya mencemari sumber air itu dengan virus berbahaya tersebut sekali gus mungkin boleh menjangkiti manusia semula.

“Justeru, saya menggesa anggota masyarakat agar berhati-hati dengan gelombang ketiga Covid-19 dan mengambil peringatan tentang bahaya membuang PPE secara semberono,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak berkata, agenda pembangunan lestari akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi mengimbangi keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pindaan Rang Undang-Undang Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 membolehkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) negeri memperkasa kaedah perundangan bagi pengurusan sumber asli yang mampan dan perlindungan kualiti alam sekitar.

“Menerusi pindaan tersebut, aktiviti pembakaran terbuka di atas Tanah Hak Adat (NCL) untuk tujuan komersial kini di bawah undang-undang bagi memastikan pelaksanaan projek-projek dan program transformasi sosioekonomi di negeri ini dilaksanakan secara mampan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain menaikkan nilai denda bagi kesalahan berkaitan alam sekitar di negeri ini sehingga RM100,000, beliau berkata, pindaan tersebut juga mengkategorikan kakitangan NREB sebagai pegawai awam di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974, justeru membolehkan pemindahan kuasa penguatkuasaan daripada Jabatan Alam Sekitar Persekutuan.

“Semakan semula itu penting bagi Sarawak sebagai persediaan bagi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pemindahan kuasa autonomi untuk menerima tanggungjawab tambahan dalam menguruskan perkara-perkara berkaitan alam sekitar di bawah EQA 1974 Persekutuan,” tambahnya. - Bernama