X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Warga Turki dipenjara tujuh bulan miliki rokok seludup

Seorang warga Turki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM8,190 pada 4 April lalu. Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga Turki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM8,190 pada 4 April lalu.

Tertuduh, Erol Imamoglu, 41, berasal dari Surmene, Turki membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood pada Isnin.

Tertuduh turut diperintahkan membayar cukai berjumlah RM19,800 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Peruntukan Pembayaran Cukai mengikut Seksyen 119A (1) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki pelbagai jenis rokok melibatkan 450 karton yang ditaksirkan bernilai RM8,190 dan melibatkan cukai import sebanyak RM19,800 di atas lantai beranda rumah di Kampung Tok Dir, Pengadang Buloh di sini dan di dalam kereta jenis Naza berwarna perak.

Tertuduh yang fasih berbahasa Melayu didakwa melakukan kesalahan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (v) (ada) akta yang sama, kira-kira jam 11.45 pagi pada 14 April lalu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang iaitu RM81,900 atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.

Tertuduh juga boleh didenda tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang iaitu RM163,800 atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun,atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, seorang peruncit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai keseluruhan RM444.64 di sebuah kedai runcit di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini pada Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirudin Abd Wahab, 29, dari Kampung Telok Tok Adis di sini mohon dibicarakan bagi pertuduhan dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen135(1)(v)(aa) Akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang-barang larangan iaitu sejumlah 224 karton yang ditaksirkan bernilai RM 444.64 dan cukai import sebanyak RM 710.40.

Tertuduh didakwa memiliki barang-barang terlarang tersebut yang merupakan barang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah

Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 di premis perniagaan kedai runcit di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 23 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan iaitu RM 4,446.40 atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.

Tertuduh juga boleh didenda tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang iaitu RM 8,892.80 atau RM 500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.

Di bawah peruntukan pembayaran cukai di bawah Seksyen 119A (1) Akta Kastam 1967 pula, tertuduh boleh diarahkan membayar cukai sebanyak RM 710.40 kepada Ketua Pengarah JKDM, jika disabitkan kesalahan.

Di bawah peruntukan lucuthak di bawah Seksyen 127 Akta Kastam 1967 pula, jika tertuduh disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengarahkan melucuthak kesemua rokok kepada Jabatan Kastam untuk dilupuskan.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 November ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam selain membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!