Covid-19: Jangkitan baharu turun kepada 16,073 kes
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Angka baharu positif Covid-19 merekodkan penurunan dengan 16,073 kes dilaporkan pada Isnin.
Sarawak melaporkan 3,522 kes, diikuti Johor (2,030), Selangor (1,947), Sabah (1,649), Pulau Pinang (1,243), Kelantan (1,070) dan Perak (1,011).
Pahang pula mencatatkan 878 kes, Terengganu (704), Kuala Lumpur (398), Melaka (206), Negeri Sembilan (156), Perlis (41), Putrajaya (16) dan Labuan (11).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah harian yang dilaporkan, terdapat 233 kes adalah kategori tiga hingga lima.
"Bakinya, 15,840 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.
Menurutnya, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 1,995,771.
"Sebanyak 1,312 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 698 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Beliau berkata, terdapat 24,813 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlahnya 1,746,526 kes.
"Terdapat 32 kluster baharu dicatatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan 16 kluster tempat kerja dan 14 kluster komuniti di seluruh negara.
"Selain itu, masing-masing satu kluster pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi turut dikesan.
"Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,153 dengan 3,709 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 1,444 masih aktif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!