X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Pesakit Covid-19 enggan terima rawatan tidak dibenar pulang

Rakaman perbualan telefon pesakit yang tular di laman sosial.
A
A

GEORGETOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak membenarkan seorang pesakit positif Covid-19 tahap empat yang enggan menerima rawatan untuk pulang kerana bimbang risiko menyebarkan penyakit itu kepada individu lain.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin berkata, pesakit berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP selepas disahkan positif Covid-19 dan pemeriksaan awal menunjukkan penurunan tahap oksigen dalam darah yang sangat membimbangkan.

Berikutan itu jelasnya, rawatan terapi oksigen telah dimulakan dan pemeriksaan lanjut mendapati pesakit berkenaan semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya dapat distabilkan dengan menggunakan alat bantuan penafasan iaitu ventilator.

"Pegawai perubatan ICU HPP telah memaklumkan tentang keadaan kritikal pesakit kepada ahli keluarganya dan telah menjelaskan berulang kali kepada pesakit serta ahli keluarga tentang risiko yang boleh membahayakan tubuh dan nyawa pesakit sekiranya tidak membenarkan hospital memberikan rawatan tersebut.

"Bagaimanapun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan telah memohon agar dibenarkan pulang atas risiko sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dr Ma'arof berkata, pihak hospital masih menempatkan pesakit di ICU untuk pemantauan walaupun lelaki itu enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan penafasan ventilator berikutan keadaan pesakit yang masih kritikal.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya pihak hospital tidak memberikan makanan kepada pesakit berkenaan semasa menerima rawatan di ICU.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Dr Ma'arof berkata, pesakit di ICU telah diberi makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan proses penghadaman selain mengelakkan komplikasi.

Katanya, pihak hospital sentiasa prihatin dan akan meneruskan pemantauan terhadap pesakit berkenaan serta memberikan maklum balas berkala kepada keluarganya.

Sebelum ini tular di laman sosial berhubung kenyataan dan video perbualan telefon pesakit berkenaan dikenali Affendy Mohd Yusof selepas dia dikatakan enggan menerima rawatan alat bantuan penafasan kerana berada dalam keadaan sihat.

Lelaki itu turut mendakwa keadaan dirinya menjadi lebih teruk dan lemah sekiranya menggunakan alat bantuan berkenaan selain mahu mana-mana pihak membawanya keluar dari ICU HPP.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!