Solskjaer beri bayangan seimbangkan aksi Ronaldo

Cristiano Ronaldo - FOTO: AFP
Cristiano Ronaldo - FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan akan memberi perhatian terhadap keseimbangan minit perlawanan Cristiano Ronaldo bagi memastikan penyerang sensasi The Red Devils berusia 36 tahun itu sentiasa berada pada tahap terbaik.

Malah menurut Solskjaer, tidak menolak kemungkinan merehatkan bekas peledak Juventus tersebut sekiranya situasi semasa memerlukan beliau melakukan tindakan sedemikian.

“Sejujurnya tidak mustahil saya merehatkan Ronaldo untuk perlawanan tertentu. Beliau kini 36 tahun, manakala Mason Greenwood pula 19 tahun tentunya minit permainan kedua-duanya pasti berbeza.

“Seperkara lagi dengan Ronaldo, dia sangat menjaga dirinya sehingga saya tahu dia akan cepat pulih dan kembali cergas apatah lagi sudah menjalani pra musimnya sebelum ini.

“Jadi sudah tentu saya akan memastikan Ronaldo mendapatkan 90 minit perlawanan sama seperti pemain-pemain Manchester United lain, namun berdasarkan tahap kecergasan semasanya,” ujar Solskjaer.

Ronaldo yang kembali menyertai Manchester United selepas 12 tahun meninggalkan gergasi Inggeris tersebut, tampil cemerlang di penampilan kedua pentas Liga Perdana Inggeris apabila meledak dua gol di Old Trafford ketika The Red Devils membelasah Newcastle United 4-1 pada Sabtu.

Anak buah Solskjaer akan kembali menyingkap tirai saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu menentang gergasi Switzerland, Young Boys dalam aksi Kumpulan F di Stade de Suisse.

Manchester United yang kini menerajui liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan akan berkunjung ke Stadium Olimpik London, menentang West Ham United pada Ahad.

Artikel Berkaitan: