UMT sedia modul rujukan konservasi penyu

Anak penyu diepaskan ke habitat asal di Mak Kepit, Pulau Redang.
Anak penyu diepaskan ke habitat asal di Mak Kepit, Pulau Redang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedia menawarkan kepakaran bagi membantu usaha pemuliharaan penyu di seluruh negara.

Naib Canselornya, Profesor Mazlan Abd Ghaffar berkata, ia berdasarkan hasil pembangunan modul Latihan Pengurusan Pemuliharaan Penyu (MLP3) oleh Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) UMT yang kini sedia dijadikan rujukan pihak yang menjalankan konservasi terhadap hidupan itu.

Menurutnya, usaha menghasilkan modul yang dimeterai sejak 2017 itu dilakukan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat serta rakan-rakan strategik SEATRU UMT.

"UMT bersedia menawarkan kepakaran bagi membantu mana-mana projek konservasi dengan menjadikan modul ini sebahagian daripada produk EduTourism.

"Kita juga berharap modul latihan ini dapat dijadikan rujukan dan diimplementasikan di mana-mana pusat santuari penyu termasuk agensi pelancongan penyu di seluruh Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran modul berkenaan secara dalam talian pada Isnin.

Hadir sama, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, Syed Mohamad Akmal Syed Ager; Ketua Penyelidik SEATRU Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Dr Uzair Rusli; Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Sharum Yusof.

Menurut Mazlan, modul itu bukan sahaja mengandungi operasi piawaian berkaitan pengurusan penyu seperti pendaratan dan persarangan penyu malah ada maklumat berkaitan spesis dan ciri-ciri unik penyu bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hidupan marin itu.

"Pembangunan modul ini bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam usaha menggalakkan perkongsian aset untuk meningkatkan keupayaan penyampaian awam.

Artikel Berkaitan:

"Ia boleh dicapai dengan menyediakan satu standard yang boleh digunakan untuk melatih lebih ramai orang awam dalam aktiviti ‘Konservasi Berasaskan Komuniti’," katanya.

Sebelum ini, UMT menerima peruntukan sepenuhnya daripada Yayasan Bank Rakyat pada 1 September 2018 bagi merealisasikan projek penerbitan modul dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Institut Penyelidikan Perikanan, Terengganu.

Inisiatif itu dilakukan berdasarkan Akta Perikanan 1985 iaitu pemuliharaan taburan penyu di Malaysia yang memerlukan pengurusan teliti agar spesies hidupan itu sentiasa terpelihara.