Kejayaan JDT wajar dijadikan inspirasi

Pasukan JDT meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Liga Super 2021 selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto Bernama
Pasukan JDT meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Liga Super 2021 selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia 2021, buat kali kelapan berturut-turut.

Hasni menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook peribadinya berkata, ucapan penghargaan harus diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas pencapaian tersebut.

"Sudah tentu penghargaan ini harus diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh JDT di dalam dan luar padang adalah hasil kerja keras baginda yang membangunkan JDT sehingga menjadi satu jenama yang gah di persada dunia," katanya.

Hasni dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada pengendali skuad JDT, Benjamin Mora yang merupakan tulang belakang bagi pasukan JDT dan para pemain yang sentiasa bertungkus-lumus memastikan kejuaraan terus kekal milik Harimau Selatan.

Hasni berkata, para peminat JDT yang bukan sahaja di Johor malah di seluruh dunia juga wajar diberikan penghargaan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Kejayaan yang diraih JDT wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh masyarakat bahawa ia tidak datang bergolek, tetapi memerlukan usaha dan komitmen jitu dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya.

Pada Ahad, pasukan JDT menjuarai saingan Liga Super 2021 buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan ke-18 yang dicatat JDT dalam kempen musim 2021 itu meletakkan skuad Harimau Selatan berkelebihan 14 mata di hadapan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman FC setelah mengumpul keseluruhan 57 mata menerusi 22 perlawanan. - Bernama