Bertanggungjawab terhadap janji dibuat

Mohd Hairi Md Shah
Mohd Hairi Md Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mahu Kerajaan PH termasuklah pimpinan negeri ini, bertanggungjawab terhadap janji mewujudkan peluang pekerjaan.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, PH Johor telah berikrar akan mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan di Johor, dalam tawaran janji lima tahun mentadbir.

"Persoalan ini dibangkitkan kerana sehingga hari ini tidak kelihatan kerajaan Johor bersungguh-sungguh untuk mewujudkan peluang pekerjaan tersebut," katanya di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, Buku Harapan yang menjanjikan untuk mewujudkan satu juta pekerjaan juga nampaknya tidak dipedulikan oleh kerajaan PH.

"Sebaliknya ramai kakitangan awam kontrak telah diberhentikan kerja. Tun Mahathir pula baru-baru ini mengatakan bahawa saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikecilkan.

"Pelik tapi benar, mereka yang berjanji ingin membuka peluang pekerjaan mereka pula yang memecat dan ingin memberhentikan ramai orang," katanya.

Beliau berkata, Buku Harapan terkandung iltizam yang menyebutkan hasrat untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.

"Adakah janji itu hanya sekadar di atas kertas sahaja atau hanya gimik kosong kerana janji-janji berkenaan bukan dari kitab suci?," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Hairi turut bertanya kepada Kerajaan Johor mengenai langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah pengangguran di negeri ini, terutama melibatkan pelajar lepasan universiti tempatan dan luar negara.

"Apakah juga langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat di negara ini. Serta apakah janji-janji ini sekadar manis di bibir sahaja untuk diungkapkan?

"Kita mungkin hanya mampu lihat Menteri Besar Johor menukarkan agensi kerajaan Johor, Agensi Swadaya Insan Negeri Johor yang diperkenalkan semasa zaman Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Unit Strategik Modal Insan Johor.

"Apakah yang dilakukan oleh unit ini pada hari ini? Berapa ramai yang telah mereka bantu dan buka peluang pekerjaan? Mahasiswa lepasan universiti anak Johor hari ini ingin melihat apakah janji-janji PH ini tertunai sedangkan mereka menjadi penganggur?," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan PH termasuklah di Johor harus bertanggungjawab terhadap janji yang telah diikrarkan seterusnya menunaikan janji tersebut.

"Usah hanya selesa duduk dikerusi empuk, kemudian rakyat diketepikan. Jangan seperti kera mendapat bunga, baru diberi kuasa sudah lupa asal usul," katanya.