Tahniah JDT juara Liga Super lapan kali berturut-turut: Muhyiddin

Pasukan JDT diarak menaiki bas di hadapan para penyokong selepas dinobatkan juara Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Ahad. - Foto Bernama
Pasukan JDT diarak menaiki bas di hadapan para penyokong selepas dinobatkan juara Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjadi juara Liga Super musim ini selepas tamat perlawanan menentang KL City FC pada malam Ahad.

Menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan Harimau Selatan yang memenangi kejuaraan tersebut buat lapan musim berturut-turut.

"Tahniah JDT yang sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Liga Super malam ini, kejayaan kali kelapan berturut-turut buat Harimau Selatan.

"Sebagai anak Johor, saya pastinya turut sama berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan ini," tulisnya dalam Facebook miliknya sejurus JDT menang perlawanan itu.

Beliau berkata, kejayaan yang dilakar JDT membuktikan dengan perancangan, iltizam dan komitmen tinggi, sesebuah pasukan boleh berjaya dan terus melakar rekod baharu dalam arena bola sepak negara.

Kemenangan JDT menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan 2-1 melayakkan skuad Harimau Selatan merangkul piala berkenaan sekali gus mengekalkan penguasaan Liga Super sejak 2014.

Sebelum upacara penyerahan piala Liga Super musim ini, turut diadakan majlis penyerahan replika cek sumbangan RM 1 juta daripada JDT kepada wakil petugas barisan hadapan.

Sumbangan itu menepati hasrat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedikasikan kejuaraan Liga Super kali kelapan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bekerja sepenuh hati ketika pandemik Covid-19.

Pada malam Ahad, Stadium Sultan Ibrahim di sini diterangi percikan bunga api dan persembahan cahaya laser berwarna-warni sempena meraikan kejayaan pasukan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Detik memukau itu berlaku sejurus sahaja Ketua Pasukan JDT Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak bersama Ketua Jurulatih Pasukan JDT Benjamin Mora menjulang piala berprestij berkenaan sebelum disusuli sorakan rakan sepasukan.