Empat lelaki direman bantu siasatan kes bunuh

Wan Kamarul Azran Wan Yusof
Wan Kamarul Azran Wan Yusof
A
A
A

SEPANG - Seramai empat lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak dan dipukul di sebuah rumah di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, empat lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu direman tujuh hari bermula Isnin hingga Ahad depan.

Katanya, dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, empat atau lima lelaki menaiki sebuah kereta berhenti di depan rumah mangsa.

"Dua lelaki keluar dari kenderaaan itu, salah seorang suspek telah menetak suami pengadu berusia 45 tahun di belakang badan dan kepala.

"Seorang lagi suspek memukul kepala mangsa dengan topi keledar dan melarikan diri dengan kereta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan, kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika tiba di hospital.

Menurutnya, pemeriksaan forensik di lokasi kejadian telah menemui sebilah parang berhulu merah, helmet dan kesan darah di atas lantai.

"Bertindak atas maklumat, kenderaan yang digunakan oleh suspek telah ditemui di Ladang Sepang.

Artikel Berkaitan:

"Kereta yang digunakan oleh suspek jenis Proton Iswara warna merah dan Perodua Bezza warna putih," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan kenderaan telah dilakukan oleh forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di lokasi.

"Kedua-dua kenderaan itu telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, empat lelaki itu ditahan di Ladang Sepang pada 9.30 pagi Ahad.

"Kita turut merampas empat buah telefon bimbit dan hasil semakan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.