Corinthians akur Willian perlu jalani kuarantin

Willian (kiri), menjalani latihan bersama pemain Corinthians baru-baru ini. - Foto Playcrazygame
Willian (kiri), menjalani latihan bersama pemain Corinthians baru-baru ini. - Foto Playcrazygame
A
A
A

GERGASI Liga Brazil, Corinthians akur dengan nasihat daripada badan kesihatan berkenaan, supaya bekas pemain sayap Arsenal dan Chelsea, Willian perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan beraksi dalam saingan liga di negara berkenaan.

Menurut satu kenyataan media kelab berkenaan, Willian tiba di Brazil pada 1 September lalu dan telah pun menjalani latihan bersama pasukan sebagai persediaan untuk berdepan Atletico Goianiense di Stadium Antonio Accioly pada Isnin.

Kenyataan media berkenaan itu turut mendedahkan bahawa Willian telah diarahkan untuk menjalani proses kuarantin berkenaan biarpun telah menjalani latihan bersama pasukan sebaik tiba di Brazil, 1 September lalu sebagai persediaan untuk berdepan Atletico Goianiense.

“Kami sememangnya akur dengan nasihat yang dikeluarkan itu supaya tidak menurunkan Willian. Lagi pun, sejak pandemik ini bermula, kelab ini sentiasa bekerjasama dengan memastikan segala peraturan dipatuhi biarpun arahan datangnya daripada pelbagai badan kesihatan.

“Biarpun ada beberapa arahan yang bercanggah dan mengelirukan, tetapi dalam masa sama, kami tetap akur dan mengikuti semua arahan berkenaan demi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.

Pada aksi berkenaan pada Isnin, Corinthians hampir melakar kejayaan apabila membuka jaringan menerusi Garbriel Pereira dos Santos pada minit ke-60, namun Ze Roberto menjaringkan gol penyamaan buat Atletico Goianiense pada minit ke-89 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Dalam pada itu, kenyataan media berkenaan turut menyaksikan Corinthians mempersoalkan tindakan badan kesihatan negara itu yang membenarkan bekas pemain Manchester United Andreas Pereira beraksi berdepan Santos pada 29 Ogos lalu.

Menurut satu kenyataan media kelab berkenaan pada Isnin, tindakan badan kesihatan negara itu agak meragukan kerana sebelum itu peraturan mengatakan pemain luar yang tiba ke Brazil perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan beraksi di negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Di sini timbul persoalan, mengapakah bekas pemain Manchester United, Andreas Pereira yang menyertai Flamengo bulan lalu, dibenarkan beraksi berdepan Santos pada 29 Ogos?

“Pereira tiba di Brazil pada 21 Ogos dan setelah lapan hari, dia sudah boleh beraksi. Apakah dia tidak dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang telah disyaratkan oleh badan kesihatan di negara ini?" menurut kenyataan media itu.

Untuk rekod, Flamengo menang 4-0 pada perlawanan berkenaan dan Pereira yang beraksi sebagai pemain gantian turut menjaringkan satu gol pada minit ke-84.