X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Semangat 'keluarga' Persekutuan depani Covid-19

Selain mencapai kadar vaksinasi tinggi bagi populasi dewasa, Sarawak juga merupakan negeri pertama yang memulakan pelaksanaan vaksinasi Covid-19 untuk remaja yang bermula 8 September lepas.
A
A

KUCHING - Kematian seorang paderi di Sarawak yang menjadi mangsa pertama virus Covid-19 di negara ini pada tanggal 17 Mac 2020 memberi ‘isyarat’ penting mengenai betapa bahayanya virus tersebut yang melanda seluruh dunia sejak tahun lepas.

Insiden kematian ini menjadi titik permulaan kepada peperangan panjang dan berlarutan yang sehingga kini telah memasuki tahun kedua komuniti global menentang pandemik yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Menariknya, sepanjang tempoh peperangan menangani penularan Covid-19 di negara ini, kerajaan Persekutuan tidak pernah membiarkan Sarawak ‘berseorangan’ dalam mendepani cabaran, malah kerjasama erat itu dapat dilihat dengan kejayaan Sarawak muncul sebagai antara negeri terawal mencapai imuniti kelompok dengan kadar vaksinasi yang pantas.

Hakikatnya, ‘hubungan istimewa’ antara Persekutuan dan Sarawak bukan baru terjalin, sebaliknya ia telah lama dibina dan diterjemahkan dalam ‘semangat kekeluargaan’ sejak 16 September 1963 melalui penyatuan Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, dan Singapura bagi membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.

“Komitmen Putrajaya membekalkan vaksin sehingga Sarawak mencapai kadar vaksinasi tinggi adalah kerana sokongan kerajaan Persekutuan dan peranan penting pemimpin negeri ini.

“Kita dapat lihat betapa pentingnya persefahaman ini terutamanya dalam mendepani situasi kritikal seperti pandemik,” menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir kepada Bernama.

Selain mencapai kadar vaksinasi tinggi bagi populasi dewasa, Sarawak juga merupakan negeri pertama yang memulakan pelaksanaan vaksinasi Covid-19 untuk remaja yang bermula 8 September lepas.

Mengimbau sejarah pembentukan Malaysia yang menginjak usia 58 tahun, Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat pemimpin Sarawak terdahulu setelah mengambil kira situasi semasa ketika itu.

Menurutnya, keadaan pada 1963 cukup berbeza buat Sarawak yang terpaksa berdepan dengan konfrontasi yang dicetuskan Indonesia dan ancaman fahaman komunisme yang cuba disebarkan di negeri ini ketika itu.

“Kita tidak boleh samakan situasi kini yang mungkin lebih baik berbanding waktu itu dan diakui hingga sekarang, Sarawak lebih aman serta mencapai banyak kemajuan.

“Kita perlu lihat perspektif pada waktu itu iaitu terdapat ancaman komunis dan Indonesia yang mahu menuntut Sarawak...ini semua diambil kira oleh pemimpin kita pada masa itu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, setelah hampir 60 tahun Sarawak berada dalam pembentukan Malaysia, pelbagai manfaat telah diterima negeri ini dan banyak lagi boleh diperbaiki terutamanya daripada sudut pembangunan dan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Penggabungan ini merupakan satu perkara baik tetapi telah dijadikan sentimen oleh pihak-pihak tertentu dengan agenda tersendiri.

“Kita juga boleh lihat sejak beberapa tahun ini hak-hak di bawah MA63 juga telah diambil perhatian oleh kerajaan Persekutuan termasuk isu royalti minyak, autonomi serta hak bumiputera Sarawak yang turut dipelihara,” tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!