Agong 'titipkan' pantun nasihat kepada ahli Dewan Rakyat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menutup Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin dengan 'menitipkan' tiga rangkap pantun penuh makna tersirat kepada ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah secara berseloroh juga mengatakan bahawa pantun nasihat berkenaan tidak dapat dijawab.

Malah, Seri Paduka Baginda bertitah kepada sesiapa yang ingin membalas pantun itu perlu menunggu tahun hadapan.

"Izinkan beta untuk mengakhiri titah ini menerusi tiga buah rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas beta buat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

"Dari Segamat ke Kota Tinggi,

Hajat mulanya ke Kuala Pahang,

Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,

Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Artikel Berkaitan:

"Kalau memandang langit yang tinggi,

Jangan lupa rumput di bawah,

Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,

Martabatkan negara kembali bermaruah.

"Rempah halia digaul diuli,

Buat ramuan nasi kebuli,

Sumpah setia ketaatan diberi,

Pertahankan negara dan ibu pertiwi," titah Seri Paduka Baginda di sini pada Isnin.

Perasmian itu diadakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Selasa, manakala Dewan Negara 4 Oktober depan.