NUTP minta guru beri sokongan, kepercayaan kepada kerajaan

Kenyataan akhbar oleh Heng Suan pada Ahad.
Kenyataan akhbar oleh Heng Suan pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta semua guru supaya memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan bagi menjayakan sesi pembukaan persekolahan pada 3 Oktober ini.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan berkata, pihaknya juga berharap warga pendidik sentiasa mengingatkan diri sendiri, murid dan ibu bapa mengenai kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP) apabila sekolah dibuka kelak.

Menurutnya, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilihat menyambut baik kesemua pandangan yang dikemukakan oleh NUTP ketika sesi libat urus yang diadakan sebelum pengumuman pembukaan sesi persekolahan itu.

“Antara perkara yang dikemukakan adalah mengenai kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi nasihat kepada 2,500 guru yang tidak mahu menerima suntikan vaksin secara usaha sama dengan doktor pakar daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Kedua, garis panduan serta tugas kepada guru dan murid yang tidak mahu menerima suntikan vaksin apabila pembukaan sekolah bermula.

“Ketiga, pengetua dan guru besar serta sekolah diberi kelonggaran dengan mengikut kebijaksanaan mereka dalam menguruskan proses penutupan sekolah Sesi 2021 pada Januari dan Februari 2022 serta menentukan persiapan pembukaan sekolah sesi 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Radzi pada Ahad mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan akan dibuka semula secara berperingkat mengikut Fasa PPN dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.

Katanya, kelas secara fizikal itu hanya melibatkan negeri di bawah fasa tiga dan empat, manakala negeri di bawah fasa satu dan dua sekolah kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Heng Suan berkata, dengan mengambil kira tekanan yang dihadapi oleh guru ekoran pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), NUTP turut menyatakan kepada Mohd Radzi bahawa KPM perlu mengutamakan latihan pedagogi PdPR di samping penangguhan semua jenis penilaian dan kajian serta pelaporan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan dilihat telah melakukan penambahbaikan dalam beberapa pendekatannya melalui SOP yang diperketatkan untuk pembukaan sesi persekolahan kali ini.