RM3.9 juta bantu industri perikanan di Pahang

Abdullah (depan, kanan) bersama Mohd Shahar (depan, kiri) ketika melawat ternakan sangkar di Felda Panching Selatan.
Abdullah (depan, kanan) bersama Mohd Shahar (depan, kiri) ketika melawat ternakan sangkar di Felda Panching Selatan.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang memperuntukkan RM3.9 juta pada tahun ini bagi membantu industri perikanan di negeri ini ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, peruntukan tahun ini bertambah sebanyak RM1.1 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, bantuan diberikan kepada kumpulan sasar dalam industri perikanan di negeri ini supaya dapat terus berdaya saing meskipun berhadapan pandemik Covid-19.

"Kebiasaan, bantuan yang kita berikan meliputi skop khidmat sokongan akuakultur dan biosekuriti, geran pemadanan kawasan zon industri akuakultur, pengembangan akuakultur, elaun sara hidup nelayan, bantuan input peralatan dan bantuan benih ikan.

“Sebagai jabatan teknikal, usaha dilipat gandakan untuk membimbing usahawan dan golongan muda dalam bidang perikanan termasuk menambah nilai pengeluaran melalui pemprosesan produk dan pembungkusan supaya dapat dipasarkan lebih meluas secara dalam talian,” katanya pada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, beliau bersama Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah melawat projek ternakan sangkar di Felda Panching Selatan.

Abdullah berkata, pihaknya menyokong ternakan ikan khususnya patin dalam sangkar secara kluster yang menunjukkan potensi dan daya maju yang tinggi.

Tambah beliau, jumlah pengeluaran ikan untuk makanan di Pahang bagi subsektor perikanan laut, akuakultur dan sungai tahun 2020 ialah sebanyak 117,317 tan metrik yang bernilai kira-kira RM940 juta.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula pada setahun lalu, namun pengeluaran ikan tangkapan, akuakultur dan perikanan sungai di Pahang berada dalam kedudukan lima negeri tertinggi di Semenanjung dan tertinggi di Pantai Timur.

"Jadi atas dasar itu bantuan terhadap industri perikanan perlu dititikberatkan dalam usaha menjamin bekalan ikan mencukupi," katanya.

Ditanya mengenai projek ternakan ikan di Felda Panching Selatan, Abdullah berkata, pihaknya telah menyumbang 5,000 ekor benih ikan tilapia kepada lima penternak akuakultur di kawasan itu.

Katanya, pihak kerajaan menggalakkan pengeluaran makanan melalui penglibatan golongan anak muda atau belia bagi menceburi bidang pertanian dan perikanan di mana ia selari dengan Dasar Sekuriti Makanan.