Kerajaan negeri tidak perlu tunduk desakan pemaju

Shahril Suffian Hamdan
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor tidak sepatutnya tunduk dengan sebarang desakan pengurangan kuota Bumiputera bagi lot industri daripada 40 kepada 30 peratus atas alasan ia tidak terjual.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Suffian Hamdan berkata, sebaliknya kerajaan negeri perlu menggesa pihak pemaju menetapkan harga jualan bagi sesuatu projek yang mampu dibeli sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan.

"Objektif utama pengenalan kuota Bumiputera ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan adalah untuk menambah pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.

"Persoalan besar sehingga menyebabkan kesukaran menjual lot kepada kaum Bumiputera ini adalah kerana harga hartanah yang terlalu tinggi ditetapkan oleh pihak pemaju dalam sesuatu projek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johot, Jimmy Puah Wee Tse memberitahu 10 peratus kuota Bumiputera bagi lot industri akan dikurangkan berikutan kebimbangan pemaju projek perindustrian terhadap kuota yang tidak terjual.

Menurutnya, isu jumlah kuota ini bukan sahaja melibatkan lot industri malah ianya termasuklah melibatkan lot perumahan.

"Sekalipun kuota Bumiputera ini ditetapkan 100 peratus tetapi dengan harga jualan masih lagi tidak mampu dibeli oleh kaum Bumiputera, akhirnya kuota ini hanya tinggal kuota. Ia bukan masalah jumlah kuota sebaliknya adalah harga jualan," ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu hanyalah untuk membantu pemaju menjual unit tidak terjual mereka.

"Kerajaan negeri sedang menjaga rakyat atau hendak mengayakan pemaju sepertimana seakan membela syarikat insurans dalam skim MySalam tempoh hari?," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia