X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Rangka strategi pemulihan ekonomi Terengganu: Sultan Mizan

ADUN Terengganu mendengar titah baginda yang dibacakan Ahmad Samsuri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan yang berkesan serta komprehensif bagi memulihkan ekonomi negeri berikutan pandemik Covid-19.

Titah baginda, berdasarkan Indeks Pelopor (IP) pada April lalu, prestasi ekonomi negara dijangka menggalakkan sekiranya kes Covid-19 menurun sejajar pengukuhan permintaan global apabila kelonggaran ekonomi dilaksanakan oleh beberapa negara.

Sultan Mizan turut berharap kerajaan negeri memberikan fokus kepada perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri dalam belanjawan negeri akan datang.

"Projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang.

"Semua perbelanjaan secara 'one off' perlu diteliti semula berdasarkan kedudukan dan komitmen kewangan semasa kerajaan negeri," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Titah baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di hadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Selain itu, Sultan Mizan menyarankan kerajaan negeri membantu usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) kerana sektor tersebut antara yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Titah baginda, ramai peniaga pasar tani, pasar malam, pengusaha restoran dan lain-lain kehilangan punca pendapatan, terpaksa gulung tikar dan menganggur kerana tiada kemampuan kewangan untuk terus bertahan.

"Oleh itu, beta menyarankan kerajaan negeri terus membantu golongan ini daripada pelbagai sudut seperti bantuan sokongan kewangan, kemudahan premis perniagaan dan lain-lain agar mereka dapat terus bertahan dan menjalankan perniagaan," titah baginda.

Dalam masa sama, Sultan Terengganu berharap pengurusan pemberian vaksin Covid-19 dapat diselaraskan sebaik mungkin bagi membantu Terengganu mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini atau sebelum Monsun Timur Laut.

Baginda turut menyeru rakyat negeri ini meningkatkan usaha mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, kaunter pendaftaran vaksin di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

"Diharapkan kadar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dan kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan secepat mungkin bagi mengawal penularan wabak Covid-19 ini," titah baginda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!