X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Klopp sahkan Elliot dalam proses pemulihan

Insiden kekasaran yang menyebabkan kecederaan kepada Elliott.
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan pemain muda, Harvey Elliot kini dalam proses untuk pulih daripada kecederaan buku lalinya ketika berdepan Leeds United di Elland Road pada Ahad.

Menurut Klopp, pemain sayap berusia 18 tahun itu juga telah dibenarkan keluar dari hospital, namun dia masih perlu menjalani rawatan selain melalui proses rawatan susulan dalam beberapa hari selepas ini bagi memastikannya benar-benar pulih daripada kecederaan berkenaan dan boleh beraksi seperti biasa.

“Buat seketika, kami akan beraksi tanpanya tetapi kami tetap menantikannya untuk pulih sepenuhnya. Lagi pun, dia kini adalah antara pemain utama kami.

“Apa pun, saya bagi pihak The Reds termasuk keluarganya berterima kasih kepada pihak paramedik serta kesemua staf pusat rawatan di Leeds yang telah bertungkus lumus memberikan rawatan kepadanya,” katanya.

Aksi di Elland Road pada Ahad menyaksikan Liverpool mencatatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan Leeds United 3-0.

The Reds membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang sensasi, Mohamed Salah, Fabinho (min-50) dan Sadio Mane pada masa kecederaan.

Jaringan Salah pada perlawanan berkenaan juga merupakan jaringan ke-100 pemain sejak beraksi bersama Liverpool mulai musim 2017 lalu.

Untuk rekod, Elliot diberitakan mengalami kecederaan buku lali yang agak serius akibat dikasari pemain Leeds United, Pascal Struijk pada minit ke-60 yang turut menyaksikan pemain berkenaan dilayangkan kad merah.

Mengulas mengenai kemenangan berkenaan Klopp berasa kagum dengan aksi yang dipersembahkan skuad kendaliannya itu hingga berjaya ‘membenam’ Leeds United di depan penyokong mereka sendiri.

Malah katanya, kemenangan itu sudah cukup meyakinkannya bahawa The Reds sudah bersedia untuk melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

“Secara keseluruhan saya boleh katakan bahawa pemain telah memberikan aksi terbaik mereka untuk merealisasikan kemenangan ini.

“Kami bertahan dengan baik, kami menutup ruang selain memintas hantaran-hantaran yang sering dilakukan perancang tengah Leeds, Kalvin Philips.

“Selain itu, serangan kami juga dilihat tidak banyak mempersia-siakan peluang di depan pintu gol lawan bagi memastikan kemenangan ini,” katanya.

Sementara itu menerusi satu kenyataan di laman Instagram miliknya Struijk turut menyatakan permohonan maaf kepada Elliott dan berharap agar pemain berkenaan segera sembuh untuk beraksi seperti sediakala.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!