Duit simpanan RM11,400 lesap diperdaya 'Datuk Ridzuan'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Wang simpanan RM11,400 milik seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Mangsa berusia 21 tahun didakwa memiliki hutang pendaftaran dan pemasangan internet selepas menerima panggilan daripada pegawai telekomunikasi dari Negeri Sembilan pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai hutang pendaftaran dan pemasangan Unifi pada 10 Jun lalu, namun mangsa menafikannya.

Menurutnya, panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan mangsa telah bercakap dengan individu dikenali sebagai Datuk Ridzuan.

“Selepas perbincangan, Datuk Ridzuan memaklumkan panduan mengenai cara membersihkan nama dan siasatan terhadap akaun bank mangsa.

"Mangsa kemudian menyerahkan semua maklumat peribadi dan akaun bank miliknya kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata, panggilan itu diputuskan selepas mangsa ditegur bapa saudaranya yang curiga dengan tindakannya.

“Mangsa terus membuat semakan dua akaun bank miliknya dan mendapati wang simpanannya telah berkurang masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM2,400.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa yang berasa tertipu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.