Covid-19: 29 kematian direkodkan di Negeri Sembilan

Gambar hiasan. - Foto fail Sinar Harian, gambar kecil: Veerapan
Gambar hiasan. - Foto fail Sinar Harian, gambar kecil: Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 29 kematian akibat Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) pada Ahad.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar, S Veerapan berkata, angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini adalah 1,136 orang.

"Setakat semalam (Ahad), terdapat 283 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 94,467 kes.

"Terdapat penambahan 29 kes kematian berkaitan Covid-19 telah dilaporkan kepada CPRC Negeri Sembilan pada Ahad," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 36 kluster iaitu 27 kluster tempatan dan sembilan kluster import yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan.

"Terdapat penambahan kes positif Covid-19 pada semua kluster, namun antara yang tertinggi adalah Kluster Industri Palong 17 sebanyak 26 kes menjadikan kumulatif kes bagi kluster ini sebanyak 54 kes dan Kluster Sungai Kelamah pula empat kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 42 kes.

"Daerah Seremban mencatatkan kes baharu Covid-19 paling tinggi iaitu sebanyak 182 kes, diikuti daerah Jempol (50 kes), Port Dickson (20), daerah Tampin (11), Rembau (10), Kuala Pilah (sembilan) dan Jelebu (satu)," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri ini.

Artikel Berkaitan: