PKPD: 1 tan ikan diagih kepada penduduk dua kampung di Pekan

Lebih satu tan metrik ikan segar sejuk beku diagihkan kepada penduduk di dua kampung yang dikenakan PKPD.
Lebih satu tan metrik ikan segar sejuk beku diagihkan kepada penduduk di dua kampung yang dikenakan PKPD.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengagihkan satu tan metrik ikan segar sejuk beku kepada 310 keluarga di dua kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pekan.

Kampung Permatang Durian dan Kampung Badong Dalam, Merchong dikenakan PKPD bermula 2 sehingga 15 September ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, setiap keluarga terlibat akan menerima tiga kilogram ikan.

Menurutnya, inisiatif ini dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang.

"Kita akui penduduk terkesan dengan PKPD ini kerana pergerakan mereka terhad. Jadi kita agihkan sedikit keperluan harian bagi memastikan mereka tidak terputus punca bekalan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.

“Bantuan tambahan pula diberikan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), kerajaan negeri Pahang dan Parlimen Pekan termasuk agensi lain bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan Pahang sentiasa prihatin dan terus membela nasib rakyat ketika berdepan dengan krisis kesihatan serta ekonomi kini.

Menurutnya, sumbangan kewangan dan barangan makanan dari kerajaan Pahang dan Parlimen Pekan disalurkan terutamanya kepada warga emas dan pesakit kronik.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua sumbangan ini membuktikan keprihatinan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang demi membela nasib rakyat. 'Tiada janji tetapi lihatlah bukti', ibarat kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya.

Ditanya mengenai liputan internet jalur lebar dan telekomunikasi di Kampung Serambi, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Temai, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sedang menaiktaraf stesen pemancar di sini.

Katanya, stesen pemancar itu dijangka siap awal tahun hadapan.

"Dalam lawatan ini, saya diberitahu Kampung Temai begitu juga Kampung Serambi kini telah mendapat liputan 4G.

"Ini membuktikan usaha dilakukan kerajaan Pahang bersama SKMM telah mula mendatangkan kesan yang baik untuk rakyat," katanya.