Bursa Malaysia catat dagangan rendah pagi ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia mencatatkan dagangan rendah pagi ini, meneruskan trend menurun minggu lepas kerana kekurangan pemangkin belian selain menjejaki prestasi lemah di Wall Street pada Jumaat.

Pada jam 9.16 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.63 mata kepada 1,570.34 daripada penutupan urus niaga Jumaat iaitu 1,575.97.

Indeks dibuka 2.19 mata lebih rendah pada 1,573.78.

Wall Street ditutup rendah pada hari Jumaat dengan sentimen pelabur berubah menjadi negatif selepas indeks harga pengeluar Amerika Syarikat (AS) pada bulan Ogos mencatatkan kenaikan 8.3 peratus tahun ke tahun.

Menurut Rakuten Trade dalam satu nota penyelidikan, Wall Street terus dijejaskan oleh data pekerjaan yang lemah baru-baru ini selain daripada kebimbangan mengenai varian Delta yang mungkin membantutkan pemulihan AS.

"Bagi bursa tempatan, FBM KLCI meneruskan pembetulannya kerana aktiviti pengambilan untung yang berterusan.

"Indeks telah kehilangan 25 mata sejak mencecah paras melepasi 1,600 pada akhir bulan Ogos dan kami berpendapat ia akan berada di bawah tekanan hari ini di tengah-tengah ketidakpastian pasaran serantau yang lain," katanya.

Justeru, firma penyelidikan itu menjangkakan indeks penanda aras itu akan stabil dan bergerak sekitar 1,570-1,580 hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 303 berbalas 196 sementara 361 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 528.99 juta unit bernilai RM238.53 juta.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Maxis masing-masing naik dua sen kepada RM8.31 dan RM4.68, dan Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.05 sementara Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional turun dua sen setiap satu kepada RM7.93 dan RM10.28.

Bagi saham aktif, KNM menyusut 2.5 sen kepada 27.5 sen, Tanco naik satu sen kepada 24.5 sen, dan Emico meningkat tiga sen kepada 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 31.77 mata kepada 11,491.04, Indeks FBMT 100 turun 29.84 mata pada 11,182.48, dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 26.57 mata kepada 12,587.63.

FBM 70 menokok 0.2 mata menjadi 15,044.13 sementara FBM ACE naik 15.48 mata kepada 7,270.58.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 21.16 mata kepada 6,583.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.39 mata kepada 200.51, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 24.81 mata kepada 15.365.36. - Bernama