X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Ringgit dibuka di bawah paras 4.14 berbanding dolar AS

A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit memulakan urus niaga pagi ini agak lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas kemunculan kegiatan pengambilan untung berikutan kenaikan kukuh minggu lepas.

Pada jam 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.1405/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1340/1370 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd, ringgit mengakhiri urus niaga minggu lepas dengan mengukuh di bawah paras 4.14 berbanding dolar AS untuk pertama kalinya sejak 18 Jun 2021.

Ini didorong oleh peningkatan mata wang yuan di tengah-tengah keyakinan AS-China selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping bercakap untuk pertama kalinya pada 10 September sejak Februari tahun ini.

Bergerak ke hadapan, bank pelaburan itu berkata walaupun berhadapan dengan tekanan jualan kerana kegiatan pengambilan untung, ringgit dijangka kekal kukuh berikutan kelemahan nilai dolar AS selain sentimen rancak pasaran susulan perkembangan positif hubungan AS-China.

"Prestasi ringgit juga akan menjejaki perkembangan Covid-19 di dalam negara," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, Kenanga menambah indikator purata pergerakan eksponen (EMA) memberi petanda akan berlaku pembalikan dalam trend dolar AS-ringgit dengan ringgit dijangka menyusut berbanding dolar AS sebanyak 0.27 peratus kepada 4.147 minggu ini.

"Secara teknikal, pergerakan dolar AS-ringgit mungkin bergerak ke arah paras halangan pertama 4.149 dan berpotensi menguji paras halangan kedua 4.162, yang menunjukkan corak menaik untuk dolar AS.

Namun begitu, peningkatan ke arah paras sokongan 4.129 akan mengesahkan kekuatan ringgit,” katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya kukuh berbanding mata wang utama yang lain kecuali berbanding yen yang mana unit tempatan lemah kepada 3.7651/7692 daripada 3.0867/0892 Jumaat lepas.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.0844/0882 daripada 3.0867/0892, berbanding pound, ia meningkat kepada 5.7280/7342 daripada 5.7347/7388 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8879/8932 daripada 4.8934/8970 sebelumnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!