X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

61,105 pekerja industri di Negeri Sembilan sudah divaksin

Seramai 61,105 pekerja sektor perindustrian di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 melalui PPV PIKAS yang dibuka di negeri ini. (Gambar kecil: Mohamad Rafie)
A
A

SEREMBAN - Seramai 61,105 pekerja sektor perindustrian di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) yang dibuka di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, seramai 53,961 pekerja pula telah melengkapkan suntikan vaksin dua dos.

Menurutnya, PPV-PIKAS d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga Ahad memberi 41,106 suntikan dos pertama dan 38,546 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.

"PPV-PIKAS D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos lalu pula memberi suntikan dos pertama kepada 19,999 pekerja setakat sehingga semalam (Ahad) dan 15,415 untuk dos kedua.

"Peningkatan program pemvaksinan dalam sektor industri ini telah berjaya mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja industri di Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan itu berkata, semua pihak pengurusan sektor perindustrian yang masih belum berdaftar untuk pemberian vaksin dinasihatkan untuk segera mendaftarkan pekerja masing-masing di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kita perlu berusaha untuk memastikan setiap premis sektor perindustrian dapat mencapai 100 peratus suntikan vaksin bagi membolehkan sektor perindustrian dapat beroperasi semula secara optimum.

"Kita menasihatkan pihak pengurusan di premis perindustrian untuk memastikan prosedur standard operasi (SOP) kesihatan semasa di tempat kerja dipatuhi dengan sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak kemungkinan penyakit Covid-19 ini merebak semula," katanya.

Katanya, saringan awal menggunakan kit ujian Covid-19 sebelum memasuki premis kilang sangat membantu dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam kawasan industri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!