X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Nur Baizura fokus bantu wanita

Mak Mak Gaya Moden cetus dimensi baharu pengurusan rumah tangga.
A
A

MENGURUS rumah tangga pada masa kini bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi perubahan gaya hidup dengan kebanyakan golongan ibu mempunyai kerjayanya sendiri membuatkan ia lebih mencabar.

Bagi ibu yang mempunyai anak ramai perlu komitmen terhadap pengurusan rumah tangga yang tinggi dan memerlukan golongan wanita mempunyai pelbagai kemahiran.

Bertitik tolak daripada itu, seorang ibu muda, Nur Baizura A Bakar mula berkongsi ilmu mengurus rumah tangga, masa, emosi dan segalanya dengan lebih sistematik dan efisien melalui platform media sosial seperti laman web, Facebook dan Instagram menggunakan jenama ‘Mak Mak Gaya Moden’.

Nur Baizura, 40, yang juga Pakar Rumah Tangga berkata, program Mak Mak Gaya Moden ini merupakan program yang dibina khas untuk semua kaum wanita di dalam kumpulan atau grup di Facebook.

“Peserta akan mendapat perkongsian mengenai pengurusan masa, diri,emosi, dapur,kain baju,suami dan anak-anak secara berperingkat mengikut keperluan berbentuk hantaran di dalam grup di Facebook.

“Malah, para peserta juga berpeluang untuk mendapatkan tips tambahan mengenai pengurusan barang-barang di dalam rumah, semasa berpantang dan menyusu serta pelbagai lagi ilmu rumah tangga,” katanya.

Bantu wanita jadi ibu cemerlang

Menceritakan bagaimana timbul idea untuk membuat program Mak Mak Gaya Moden, Nur Baizura yang juga ibu kepada tujuh anak ini berkata, ia tercetus apabila dia cuba bangkit setelah kegagalan perkahwinan pertamanya.

“Sehingga sekarang, saya masih mencari apa kekurangan sendiri dan cuba menjadi lebih baik setiap hari. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.

“Saya belajar mencari kekuatan dan menjadi seorang yang berdikari. Apabila perkahwinan kedua, saya bersyukur kerana suami sentiasa memberikan sokongan dan dorongan, begitu juga dengan keluarga dan kawan-kawan.

“Mulanya saya tak pandai memasak tetapi ada orang ajar, kini saya semakin pandai dan mahir memasak. Saya mula berkongsi di Facebook mengenai pengurusan rumah tangga bermula tahun 2004 hingga 2006 sehinggalah 'followers' semakin bertambah dan setiap perkongsian mula tular,” katanya.

Bagaimanapun, perkongsian dan tips-tips yang dibuat membuatkan ada kalangan 'followers' yang ‘menuntut’ komitmen yang lebih dengan asakan pelbagai persoalan sehingga menyebabkan Nur Baizura serba salah kerana pada masa yang sama mempunyai kerjaya sendiri yang perlu diutamakan.

Sehinggalah sampai satu masa ada kalangan 'followers' yang memberikan cadangan untuk membuat grup khas berbayar bagi perkongsian ilmu pengurusan rumah tangga yang dikenali sebagai ‘Mak Mak Gaya Moden’ pada tahun 2018.

“Saya memang tidak sangka ramai yang menyertai group ini dan dalam tempoh sebulan, saya mempunyai 100 peserta sedangkan pada masa itu mereka dikenakan bayaran sebanyak RM90 bagi yang ingin menyertai kumpulan berkenaan.

“Dalam tempoh enam bulan, penyertaan meningkat kepada 1,000 peserta. Alhamdulillah, kini grup ini mempunyai 2,800 ahli dan tiada bayaran bulanan dikenakan dan mereka boleh duduk dalam grup itu sampai bila-bila,” jelasnya.

Nur Baizura A Bakar
Nur Baizura A Bakar

Satukan kembali 250 pasangan

Nur Baizura berkata, apa yang mengejutkannya ialah pesertanya kian bertambah dan turut disertai remaja seawal usia 17 tahun dan nenek berusia 68 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai latar belakang termasuk suri rumah, guru dan jurutera.

“Sebanyak 20 peratus peserta grup ini merupakan wanita bujang, 15 peratus adalah ibu tunggal manakala 65 peratus sudah berumah tangga,” katanya.

Apa yang mencabar baginya ialah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peserta-peserta menjadi sangat aktif kerana ramai antara mereka yang terpaksa duduk di rumah membuat aktiviti memasak, melipat kain, mengemas rumah dan seumpamanya menjadi topik hangat dalam kalangan peserta.

“Semasa mula-mula cabaran dengan 1,000 peserta ialah saya tidak pernah memberikan khidmat nasihat rumah tangga tetapi menggunakan pengalaman yang ada, saya menasihatkan mereka mengenai penceraian, pergaduhan dan ditinggalkan.

“Alhamdulillah, sebanyak 250 pasangan yang berjaya disatukan balik. Ada yang datang kepada saya dan menceritakan dia ditinggalkan suami, suami ada orang lain dan saya cuba bantu dengan minta dia ubah itu dan ini.

“Syukur kerana ada yang nampak perubahan, malah dalam tempoh sebulan, ada yang seminggu sudah kembali bersama. Saya hanya berkongsi pengalaman dan daripada pengalaman itu, saya suka untuk bantu orang lain dalam menyelesaikan masalah rumah tangga mereka,” katanya.

Bantu jualan dan jual produk sendiri

Nur Baizura berkata, Mak Mak Gaya Moden juga membantu ibu-ibu muda khususnya untuk belajar ilmu asas masakan dan cara pengurusan memasak serta berkongsi resipi.

Jelasnya, walaupun ada yang masih belum mengenali perkara asas seperti membezakan bawang besar dan bawang merah, bunga lawang, bunga cengkih, kayu manis, jintan putih, dia menganggap ia adalah sebagai satu cabaran untuk ‘membentuk’ wanita berkenaan menjadi ibu yang hebat.

“Saya turut berkongsi resipi pes-pes kepada semua peserta dan ada yang berjaya membuat duit dengan menjual pes. Malah ada yang membuat jualan sehingga RM15,000 sebulan, itu satu pencapaian yang menyeronokkan dan membanggakan.

"Setiap peserta memberi maklum balas yang sangat positif di mana rata-rata antara mereka mula ada keyakinan diri yang lebih tinggi dalam meneruskan kerjaya, keberanian untuk berkomunikasi dengan orang luar, serta lebih ramai berani untuk memulakan perniagaan. Malah, mereka turut memberi sokongan penuh kepada perniagaan yang dijalankan peserta lain.

"Saya sediakan MMGM Mall untuk memudahkan setiap peserta menjalankan perniagaan dan menyokong satu sama lain.

Cara membuat pes dan ibu sambal turut diajar kepada peserta.
Cara membuat pes dan ibu sambal turut diajar kepada peserta.

Profil

Pengasas: Nur Baizura A. Bakar

Umur: 40 tahun

Media sosial:

• Laman web: https://makmakgayamoden.com

• FB: Mak Mak Gaya Moden

• IG: makmakgayamoden

• Emel: [email protected]

• No. Tel: 019-9249060

Info Mak Mak Gaya Moden

• Memfokuskan kepada belajar mengurus rumah tangga, masa, emosi dan segalanya dengan lebih sistematik dan efisien.

• Mula ditubuhkan pada tahun 2018.

• Mempunyai 2,800 peserta.

• Peserta terdiri daripada wanita berusia 17 hingga 68 tahun.

• 65 peratus peserta sudah berumah tangga, 20 peratus bujang manakala 15 peratus merupakan ibu tunggal.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!