X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

[VIDEO] Penjara seumur hidup pemerdagang orang

Yusaini Amer (tengah) dan Azry Akmar membicarakan topik ‘Jual Orang, Kenapa Tidak Selesai?’ menerusi program Sinar Live yang dikendalikan Dinnie Asyraf Salim (kiri) selaku hos di Auditorium Karangkraf di Shah Alam pada Jumaat. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan kini berada di peringkat akhir untuk meminda Akta Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 sebelum dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Jabatan Peguam Negara, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata, antara pindaan yang dicadangkan ialah meningkatkan hukuman terhadap kesalahan itu kepada penjara seumur hidup.Menurut beliau, pindaan itu dibuat agar undang-undang selaras dengan obligasi Malaysia di peringkat antarabangsa memandangkan negara adalah antara pihak yang menandatangani Protokol Pemerdagangan Manusia atau Protokol TIP.“Di Malaysia ketika ini, kita mempunyai undang-undang khusus bagi menangani isu ini iaitu ATIPSOM 2007.

“Akta ini memperuntukkan kesalahan-kesalahan secara khusus berkaitan jenayah pemerdagangan orang.

“Sebagai contoh, bagi kesalahan pemerdagangan orang pesalah boleh dihukum sehingga 15 tahun penjara.

“Namun begitu, Jabatan Peguam Negara dalam menangani jenayah-jenayah seperti ini akan turut menimbangkan kesalahan-kesalahan lain dalam Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kerja 1955, Akta Kanak-Kanak 2001 atau mana-mana peruntukan perundangan lain, bergantung kepada keterangan sedia ada dalam sesebuah kes,” jelas beliau.

Yusaini Amer berkata demikian ketika menjadi tetamu Sinar Live bertajuk ‘Jual Orang, Kenapa Tidak Selesai’? di Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Jumaat.

YUSAINI AMER - Foto Asril Aswandi Shukor
YUSAINI AMER - Foto Asril Aswandi Shukor

Beliau menambah, jabatan itu juga sedar bahawa kesalahan berkenaan adalah sejenis jenayah rentas sempadan.

Menurut Yusaini, ia selalunya melibatkan jenayah terancang dan sindiket di mana mangsa biasanya dari negara asing dan kemasukan mereka ke Malaysia dikawal oleh kumpulan penjenayah.

“Kita juga boleh mempertimbang penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk kes sindiket jenayah terancang,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat aktiviti pemerdagangan orang di sekeliling mereka.

“Masyarakat perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini. Kita tidak boleh bergantung kepada agensi penguatkuasaan semata-mata.

“Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesyaki terdapat aktiviti yang menjurus kepada kesalahan pemerdagangan orang.

“Jenayah pemerdagangan orang ini bukanlah satu jenayah bersifat teknikal sebaliknya merupakan kegiatan yang boleh dilihat dan difahami oleh masyarakat sendiri,” kata beliau.

Eksploitasi seks, kerja paksa jadi trend utama jenayah pemerdagangan orang di Malaysia

Sementara itu, polis mengenal pasti trend utama jenayah pemerdagangan orang di Malaysia terdiri daripada eksploitasi seks dan kerja paksa.

Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan statistik bermula Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 42 kes membabitkan kerja paksa direkodkan, manakala 33 kes melibatkan eksploitasi seks.

Jelas beliau, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 81 kes melibatkan eksploitasi seks dan 62 kes kerja paksa.

AZRY AKMAR - Foto Asril Aswandi Shukor
AZRY AKMAR - Foto Asril Aswandi Shukor

“Bagi kesalahan jenayah pemerdagangan orang, sebanyak 146 serbuan telah dijalankan pada tahun 2020 melibatkan 243 tangkapan.

“Hasil serbuan yang dijalankan berjaya menyelamatkan 599 orang dan memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO). Daripada jumlah tersebut, seramai 74 orang telah memperoleh Perintah Perlindungan (PO).

“Bagi tahun 2021 pula, pada Januari hingga Ogos, sebanyak 77 serbuan dijalankan dengan tangkapan seramai 163 orang. Dalam operasi tersebut, 362 orang telah diselamatkan dan memperoleh IPO.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 95 orang memperoleh PO.

“Daripada statistik tersebut, jelas menunjukkan trend utama pemerdagangan orang di negara ini terdiri daripada jenis eksploitasi seks dan kerja paksa,” ujar beliau.

Azry Akmar berkata, selain menggunakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang, polis turut menggunakan strategi baharu.

Beliau memberitahu, strategi baharu itu dilaksanakan dengan mengambil tindakan di bawah Bab VIB Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan ke atas kumpulan jenayah terancang (KTJ) di mana tahanan dan siasatan mengguna pakai prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

“KJT ini perlu dihapuskan dengan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dan berkesan agar ia dapat mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!