Warisan Tempe Tokku aroma daun pisang

Mohd Ridwan Hafizi menunjukkan cara kacang soya diproses untuk dijadikan tempe. (Kanan: Tempe Tokku yang dibungkus menggunakan daun pisang.)
Mohd Ridwan Hafizi menunjukkan cara kacang soya diproses untuk dijadikan tempe. (Kanan: Tempe Tokku yang dibungkus menggunakan daun pisang.)
A
A
A

BESUT - Tempe bukanlah makanan popular di Terengganu. Namun seorang pemuda dari Felda Selasih, di sini berani mengambil cabaran mengusahakan perniagaan makanan yang dihasilkan melalui kacang soya itu sejak dua bulan lalu.

Mohd Ridwan Hafizi Samsani, 37, membuat keputusan menjadi usahawan tempe selepas kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja sebagai juruteknik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Tempe yang siap diproses akan dibungkus menggunakan daun pisang.
Tempe yang siap diproses akan dibungkus menggunakan daun pisang.

“Selepas tiada kerja, saya hilang punca. Tiba-tiba saya dapat idea untuk hidupkan kembali perniagaan warisan keluarga dengan menjual tempe. Saya beli sekilogram kacang soya dan proses tempe di rumah. Selepas siap saya masak sambal bilis tempe dan berkongsi dengan jiran.

“Jiran puji tempe yang saya buat sedap dan minta untuk beli. Bermula dari situ, saya buat keputusan untuk aktif dalam pembuatan tempe daun pisang kerana nampak potensi yang pada perniagaan makanan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tempe Tokku yang siap dibungkus.
Tempe Tokku yang siap dibungkus.

Menurut Mohd Ridwan Hafizi, walaupun kurang popular namun pembuatan tempe bukan perkara asing baginya kerana keluarganya pernah mengusahakan perniagaan tempe daun pisang sebelum ia terpaksa dihentikan.

Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun itu berkata, arwah datuk, Ali Mohamad dan neneknya, Nah Endut berniaga tempe daun pisang dan dijual di pasar tani di sekitar Terengganu sejak 40 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika berusia 17 tahun dia sempat membantu pasangan itu memproses tempe daun pisang dan selepas kedua-duanya meninggal dunia, legasi perniagaan tersebut diteruskan oleh ibunya, Norul Huda Ali.

“Tapi, mak terpaksa hentikan pembuatan tempe daun pisang pada tahun 2012 atas faktor masalah kesihatan. Sejak itu, tidak ada lagi jualan tempe daun pisang dari keluarga kami sehinggalah saya kembali membuatnya dua bulan lalu,” katanya.

Tempe Tokku semakin mendapat perhatian pelanggan.
Tempe Tokku semakin mendapat perhatian pelanggan.

Menggunakan resipi turun temurun keluarga, dia mengorak langkah menghasilkan tempe daun pisang menerusi jenama Tempe Tokku.

Kata Mohd Ridwan Hafizi, pada awalnya dia hanya menggunakan dua kilogram kacang soya bagi menghasilkan 50 keping tempe daun pisang dan menjualnya secara dalam talian serta penghantaran terus kepada pelanggan di sekitar Besut.

Hari demi hari permintaan terhadap tempe air tangannya semakin mendapat perhatian penggemar tempe hingga pengeluaran bertambah sehingga 400 keping sehari.

“Pada peringkat awal berniaga, cabaran yang saya hadapi adalah setiap kedai tidak yakin orang Terengganu akan menyukai tempe, ia menyebabkan ramai menolak untuk menjual tempe di kedai mereka.

“Namun alhamdulillah, lama kelamaan mereka dapat menerima Tempe Tokku yang merupakan satu-satunya tempe dibungkus dengan daun pisang di negeri ini dan setuju menjual Tempe Tokku aroma daun pisang,” katanya.

Mohd Ridwan Hafizi sedia menghantar Tempe Tokku kepada pelanggan yang membuat tempahan.
Mohd Ridwan Hafizi sedia menghantar Tempe Tokku kepada pelanggan yang membuat tempahan.