Damok akui gementar berlumba di Aragon

Syarifuddin ketika beraksi di GP Aragon pada Ahad.
Syarifuddin ketika beraksi di GP Aragon pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA negara, Syarifuddin Azman mengakui gementar apabila buat julung kalinya berlumba dengan pelumba handalan dunia dalam saingan Moto3 Grand Prix (GP) Aragon pada Ahad.

Bagaimanapun, Syarifuddin berkata, pada penghujung perlumbaan dia mula mendapat keberanian untuk memintas pelumba-pelumba berkenaan dalam usaha menempatkan dirinya pada kedudukan terbaik.

“Saya akui memang agak sukar bila bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dunia kali ini hinggakan saya terpaksa mengikuti sahaja mereka.

“Pada mulanya, agak takut-takut juga untuk memintas mereka, tetapi saya mula berani untuk memintas mereka pada penghujung perlumbaan.

“Bagaimanapun, saya tidak pedulikan perasaan takut itu dan mula memintas pelumba-pelumba berkenaan untuk berada pada kedudukan yang lebih baik,” katanya pada Ahad.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok menamatkan GP Aragon di Litar MotorLand Aragon pada kedudukan ke-13 dengan mencatatkan masa 38 minit 3.555 saat (s), sekali gus memberikan tiga mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing.

Rakan sepasukannya, Darryn Binder pula menduduki tangga ketujuh dengan catatan masa 37:55.843s dan kini berkedudukan kelapan keseluruhan dengan 131 mata.

Syarifuddin yang bermula pada petak ke-21 dilihat mempamerkan aksi mengagumkan apabila berjaya meninggalkan pelumba-pelumba lain bagi menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-13.

Artikel Berkaitan:

Binder yang bermula di petak pertama bagaimanapun berjaya dipintas pelumba lain pada perlumbaan berkenaan dan menyaksikan pelumba kelahiran Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketujuh.

Pelumba Itali, Dennis Fogia daripada pasukan Leopard Racing, muncul juara bagi kategori Moto3 pada GP Aragon, kali ini.

Sementara itu, Syarifuddin menyifatkan banyak perkara yang dipelajarinya daripada perlumbaan berkenaan berbanding kategori CEV yang disertainya sebelum ini.

“Saya belajar sesuatu kali ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali yang membawa saya ke sini, begitu juga dengan pasukan teknikal kami yang melakukan tugas dengan cukup baik bagi memastikan jentera saya dalam keadaan yang baik bagi perlumbaan ini,” katanya.