Pelajar SMK Putrajaya Presint 11(1), Kolej Tunku Kurshiah ungguli cabaran baca berita

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) dan Kolej Tunku Kurshiah dinobat juara Cabaran Membaca Berita Peringkat Sekolah Menengah 2021, hari ini.

Nurul Izzah Kamal yang mewakili SMK Putrajaya Presint 11 (1) dan Zalea Zamin dari Kolej Tunku Kurshiah, masing-masing mengungguli kategori berita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekali gus mengetepikan lapan finalis lain yang turut memberi persaingan sengit dalam cabaran yang julung kali diadakan itu.

Dengan kemenangan itu, Nurul Izzah,17, dan Zalea,16, yang memilih topik Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM300, sebuah tablet tajaan Putrajaya Holdings, baucar beli-belah bernilai RM300 daripada Pusat Pakaian Hari-Hari, cenderamata eksklusif daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan sijil penyertaan.

“Terima kasih kepada pihak sekolah yang membuka peluang kepada saya untuk menyertai pertandingan ini, ibu bapa dan rakan-rakan yang memberi sokongan,” kata Nurul Izzah selepas pengumuman kemenangannya di Bernama TV malam ini.

Zalea pula menyifatkan sokongan para guru, keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan moral secara langsung dan tidak langsung sebagai penyumbang kepada kemenangannya.

Sementara itu, Wan Auni Umayrah Wan Mohd Asri dari SMK Paka dan Vanessa Tay Qin Ee dari SMK (P) Temenggong Ibrahim masing-masing muncul naib johan dalam kategori berita Bahasa Melayu dan Inggeris.

Tempat ketiga dimenangi pelajar SMK Kubang Kerian, Siti Nur Aisyah Nazlan dan Genevieve Elizabeth Grippin dari SMK Putrajaya Presint 11 (1).

Finalis lain yang turut bertanding di pentas akhir ialah Adlina Aqilah Jamaludin dari SMK Chukai, Kemaman dan Nik Nusratina Aisyah Mohamad Nazeri dari SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bagi kategori Bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Fareisha Adriana Farez dari SMK Kubang Kerian dan Hajar Puteri Sulaiman bagi kategori Bahasa Inggeris.

Kesemua finalis turut membawa pulang wang tunai, baucar, cenderamata dan sijil penyertaan.

Cabaran Baca Berita Peringkat Sekolah Menengah 2021 yang diadakan secara maya dianjurkan buat julung kalinya oleh SMK Putrajaya Presint 11 (1) dan SMK Kubang Kerian dengan kerjasama Bernama telah menerima kira-kira 400 penyertaan setelah cabaran itu dibuka secara rasmi pada 15 Julai lepas. -Bernama