SDPAHM 2021 bawa reformasi, pembaharuan stail penyampaian puisi

Poster Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2021.
Poster Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2021.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2021 bakal membawa reformasi dan pembaharuan dalam stail penyampaian puisi yang berbeza daripada gaya deklamasi biasa.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, program kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu bertujuan menyemai semangat patriotik dan kecintaan kepada negara dalam kalangan masyarakat.

“Dari segi format, SDPAHM membawa persembahan dengan cara dan gaya bebas mengikut kesesuaian di mana persembahan boleh menggunakan bantuan teknikal seperti prop, muzik, slaid, gambar, grafik dan alatan lain yang menepati konsep serta puisi yang dipilih.

“Ia berbentuk teateristik dan dramatik supaya memberi kesan terbaik kepada penonton di samping deklamator juga bebas bergerak di pentas.

“Namun ia masih lagi mengekalkan pemarkahan dari segi penyampaian, kelancaran dan penjiwaan atau penghayatan terhadap teks puisi di samping mengambil kira aspek kreativiti persembahan dan audio visual,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pertandingan sayembara akhir peringkat kebangsaan itu menyediakan hadiah menarik kepada para pemenang termasuk piala pusingan, Piala Seri Pemuisi Malaysia bagi juara, piala iringan, wang tunai, hadiah buku dan langganan percuma majalah Jurnal Pemuisi selama setahun.

Tambahnya, puisi yang bakal dipertandingkan diambil daripada Antologi Puisi Malaysia Satu – Teks Sayembara Puisi Hari Malaysia terbitan Pemuisi.

“Seramai 15 orang peserta yang menjadi juara di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur serta Putrajaya akan mengambil bahagian dalam peringkat akhir kebangsaan SDPAHM 2021 itu.

Artikel Berkaitan:

“SDPAHM akan diadili lima orang juri profesional dengan mengambil kira pemarkahan mengikut kaedah dan syarat deklamasi puisi artistik yang ditetapkan Pemuisi,” kata beliau.

Ketua Setiausaha Motac, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat bakal merasmikan program yang diadakan secara dalam talian di Facebook DBP dan Pemuisi Berkarya pada 15 September ini jam 9.30 malam.