KKM akan bincang selesaikan isu GP swasta

Khairy ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Mesyuarat Agung Tahunan MMA Ke-61 pada Sabtu.
Khairy ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Mesyuarat Agung Tahunan MMA Ke-61 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi perhatian terhadap isu penting berkait pengamal perubatan am (GP) swasta termasuk caj konsultasi dan kawal selia peranan orang tengah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan GP swasta memainkan peranan penting ke arah menyumbang tenaga dalam pengurusan pandemik Covid-19, mengendalikan saringan di lapangan, arahan pemantauan di rumah (HSO) dan suntikan imunisasi.

“Saya dimaklumkan bahawa pelbagai isu seperti caj konsultasi GP dan kawal selia pihak pentadbir ketiga (TPA) sudah menjadi isu sekian lamanya yang perlukan perhatian secepat mungkin.

“Saya ambil maklum perkara tersebut serta akan membincangkan langkah penyelesaian lanjut dengan pegawai saya. Kami harus mengadakan pertemuan secepat mungkin untuk bincang ruang dan peluang menjalin kerjasama dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam mengukuhkan perkhidmatan kesihatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Mesyuarat Agung Tahunan MMA Ke-61 pada Sabtu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan memberi keutamaan penting dalam menyelesaikan isu-isu di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih belum diselesaikan lagi terutama berkaitan pegawai perubatan kontrak.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk mengakui peranan sektor swasta ke arah pendekatan keseluruhan masyarakat dalam perkhidmatan kesihatan negara.

“Ada juga gesaan ke arah lebih banyak kerjasama awam-swasta dalam perkhidmatan kesihatan negara, dimulakan dengan suntikan imunisasi di klinik swasta dan fasa terakhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta berkemungkinan proses pemberian dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

"Saya beri jaminan bahawa segenap perkara ini dalam penelitian KKM dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Pembabitan hampir 1,700 GP swasta dalam PICK sememangnya suatu kejayaan yang kita boleh banggakan,” kata beliau.