Sarawak perluas penggunaan RTK-Antigen

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sarawak akan meluaskan penggunaan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen di negeri itu bagi mengenal pasti kes positif Covid-19 dengan cepat agar tindakan kawalan dapat dilaksanakan segera.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, langkah itu dibuat susulan jumlah kes positif baharu harian tertinggi dicatatkan di Sarawak hari ini dengan 5,291 kes.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga akan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 di negeri itu dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan dalam usaha menangani pandemik tersebut.

“Perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Orang ramai diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul iaitu pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Dr Mohamed Sapian berkata, daripada 5,291 kes baharu yang dikesan pada Ahad, sebanyak 99.9 peratus kes tidak mempunyai gejala dan hanya mempunyai gejala ringan.

Beliau berkata, peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

Katanya, bilangan sampel yang tinggi itu juga telah membebankan kapasiti makmal sedia ada dan tempoh masa diperlukan untuk memperoleh keputusan ujian juga agak lama.

Artikel Berkaitan:

“Ini mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari. Walaupun terdapat tunggakan dalam memperoleh keputusan, semua kontak berisiko telah diberi Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti,” katanya.

Angka kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga meningkat kepada 625 orang apabila lapan kematian direkodkan pada Ahad. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!