X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

GleMMER 2021 bantu 50,000 usahawan dalam talian

Zainol Fadzi (kiri) menerima 60 kotak makanan yang disumbangkan DPMM Perak menerusi Kamarullaffie.
A
A

IPOH - Hampir 50,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Perak telah menerima manfaat dalam pemberian baucer pembelian dan penghantaran yang dilaksanakan April lalu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi program Go Cashless n E-Commerce Usahawan Perak (GLeMMER) dalam usaha meningkatkan jualan usahawan yang terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya, program yang dilaksanakan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) itu mendapat kerjasama daripada sembilan platform online antaranya Shopee, Lazada, Touch n Go, Boost, Grab, Foodpanda dan lain-lain.

"Kita cuba bantu mereka menggunakan pendekatan digital dalam memasarkan produk dan memberi subsidi (baucar) penghantaran dan jualan yang memudahkan mereka tanpa membebankan pembeli dan penjual.

"Kita serap sebahagian kos penghantaran dan pembelian yang terpaksa ditanggung pembeli dengan harapan akan ramai usahawan yang mendapat manfaat. Mengikut statistik hampir 50,000 usahawan menerima manfaat menerusi platform ini," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Perak (Pesaka) Perak ditemui selepas menerima sumbangan 60 kotak makanan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di sini pada Ahad.

Zainol Fadzi berkata, program berkenaan akan diperluaskan menerusi pelan baharu yang akan diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerajaan negeri juga telah membelanjakan lebih RM46 juta untuk membantu mengurangkan kesan yang dihadapi usahawan PMKS.

"Data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan sebanyak 85,000 syarikat masih aktif. Dukacita ramai usahawan yang terlepas menerima bantuan yang disediakan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu.

"Namun dengan kerjasama yang dijalankan SSM pada PKP 2.0 lalu yang menjalankan pelbagai promosi untuk mendaftar, tiada usahawan yang tercicir daripada dapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DPMM Perak, Ir Ts Kamarullaffie Ahmad berkata, pihaknya terus memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan meskipun ahli-ahlinya turut terkesan dengan pandemik itu.

"Memang perniagaan kami juga turut terkesan tetapi di luar sana ada rakyat yang lebih susah yang perlu kami bantu. Lebih 200 kotak makanan disumbangkan kepada yang memerlukan.

"Dengan sokongan ahli-ahli dan pelbagai pihak lain, DPMM Perak akan meneruskan program mengedarkan kotak makanan di seluruh negeri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!