Taman rekreasi kembali meriah dengan pengunjung

Pengunjung mula membanjiri Setia Eco Park, Shah Alam seawal jam 3 petang pada Ahad untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk berkelah.
Pengunjung mula membanjiri Setia Eco Park, Shah Alam seawal jam 3 petang pada Ahad untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk berkelah.
A
A
A

SHAH ALAM - Taman rekreasi antara lokasi tumpuan penduduk di Selangor setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negeri tersebut memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat, sekali gus menyaksikan pembukaan sempadan daerah.

Tinjauan Sinar Harian di Setia Eco Park di sini pada Ahad mendapati taman rekreasi tersebut mula dikunjungi orang ramai sejak jam 3 petang untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti beriadah, berkelah, malah mengadakan majlis sambutan hari lahir.

Bagaimanapun, pengunjung yang datang bersama keluarga atau kawan-kawan masih menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak antara satu kumpulan dengan kumpulan lain.

Seorang penganjur aktiviti riadah, Shurina Mat Isa berkata, dia teruja apabila dapat memulakan perniagaannya semula setelah dua tahun terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun berasa lega, dia perlu mencari pendapatan untuk menanggung kerugian akibat kerosakan kemudahan termasuk basikal elektrik disebabkan PKP sebelum ini.

Shurina (kanan) mula menjual peralatan permainan seperti pelancar buih Setia Eco Park, Shah Alam pada Ahad setelah perniagaannya ditutup dua tahun lalu.
Shurina (kanan) mula menjual peralatan permainan seperti pelancar buih Setia Eco Park, Shah Alam pada Ahad setelah perniagaannya ditutup dua tahun lalu.

“Sepanjang perniagaan saya tidak beroperasi, saya menjual nasi ayam kunyit di Setia Alam bagi menampung kehidupan.

“Selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, saya rasa seperti dilahirkan semula, namun ada banyak kemudahan yang perlu diperbaiki dan dibaik pulih akibat ditinggalkan terlalu lama sewaktu PKP,” katanya yang berniaga sejak lapan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang pengunjung dari Gombak, Yulaili Putri Yurmansyah, 28, berkata, dia dan keluarga datang ke sini untuk berkelah kerana kebanyakan taman rekreasi di Kuala Lumpur sudah sesak dengan pengunjung pada hari minggu.

Disebabkan sempadan antara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor telah dibuka, dia membuat keputusan untuk datang ke sini walaupun jauh dari rumahnya untuk bersiar-siar.

“Kali terakhir saya datang ke sini bersama keluarga ialah pada tahun 2016. Jadi, setelah sempadan daerah dibuka, saya buat keputusan untuk datang ke sini.

“Saya rasa seronok dapat datang ke sini kerana kasihan melihat anak-anak tertekan dengan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Yulaili Putri (kanan) bersama keluarga sanggup datang dari Gombak ke Setia Eco Park, Shah Alam untuk berkelah bersama keluarganya pada hujung minggu.
Yulaili Putri (kanan) bersama keluarga sanggup datang dari Gombak ke Setia Eco Park, Shah Alam untuk berkelah bersama keluarganya pada hujung minggu.

Berbeza pula dengan Mohd Yusry Rosli, 19, yang datang ke sini untuk membuat kejutan bagi menyambut hari lahir rakannya, Nur Syafikah Mohd Nadzri, 19, bersama rakan-rakan lain.

Dia yang tinggal di Rantau Panjang memilih untuk menyambut hari lahir Nur Syafikah pada hujung minggu memandangkan rakan-rakan lain sibuk bekerja pada hari biasa.

Nur Syafikah (tengah) bersama rakan-rakannya menyambut hari lahirnya ke-19 di Setia Eco Park, Shah Alam pada Ahad.
Nur Syafikah (tengah) bersama rakan-rakannya menyambut hari lahirnya ke-19 di Setia Eco Park, Shah Alam pada Ahad.

“Saya merancang majlis ini pada saat akhir tanpa pengetahuan rakan saya kerana kami sibuk bekerja.

“Kalau tempat rekreasi masih tidak dibuka, mungkin kami hanya akan beri hadiah dan ucapan melalui aplikasi WhatsApp. Tapi sebab dah buka (tempat rekreasi), bolehlah kami sambut di luar,” katanya.