Guna dron perluas pemantauan kawasan PKPD

Mazlan ketika meninjau operasi SJR Kuala Kedah selepas PKPD dikuatkuasakan di dua lokaliti mukim terbabit pada Ahad.
Mazlan ketika meninjau operasi SJR Kuala Kedah selepas PKPD dikuatkuasakan di dua lokaliti mukim terbabit pada Ahad.
A
A
A

KUALA KEDAH - Penggunaan dron untuk memantau kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diperluaskan di seluruh negara bagi memastikan kawasan terlibat tidak dibolosi penduduk yang degil.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun penggunaan dron hanya diperlukan bagi memantau kawasan yang luas atau di sekatan jalan raya (SJR) tertentu bagi mengawal laluan tikus.

Menurutnya, buat masa ini bekalan dron sedia ada mencukupi namun pihaknya bercadang untuk menambah peralatan itu berikutan penggunaannya yang berkesan.

“Bagi kawasan PKPD yang tidak begitu luas, kita boleh gunakan dron bersaiz kecil. Namun bagi kawasan luas seperti sempadan kita perlukan dron bersaiz besar.

Buat masa ini, dron kecil mencukupi untuk kegunaan polis di seluruh negara, manakala dron bersaiz besar akan ditambah, namun proses tender belum dikeluarkan lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi SJR Kuala Kedah, di sini pada Ahad, selepas PKPD dikuatkuasakan di dua lokaliti mukim terbabit bermula dari 6 hingga 19 September.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, penggunaan dron juga efisyen untuk mengelak jangkitan Covid-19 dalam kalangan aggota pemantauan PKPD dalam mengurangkan pengawasan secara fizikal.

“Ada penduduk positif Covid-19, bimbang juga keselamatan anggota dijangkiti ketika bertugas, dengan adanya dron dapat kurangkan bersemuka kerana dron dilengkapi dengan amaran suara untuk menasihati penduduk untuk berada dalam rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemantauan menerusi dron turut memudahkan pemeriksaan bagi membolehkan pasukan pemantau bergegas ke lokasi untuk bertindak.

Mazlan berkata, PKPD di Kuala Kedah membabitkan sembilan buah taman perumahan dan 15 buah kampung dengan populasi melebihi 14,400 penduduk.

“Dua SJR didirikan di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan, manakala 11 jalan ditutup di laluan keluar masuk kawasan itu sepanjang tempoh PKPD.

Pasukan pemantau seramai 104 anggota termasuk bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Polis Marin akan pastikan penduduk patuhi SOP serta berada di rumah. Saya harap penduduk beri kerjasama untuk elak penularan dan tidak keluar tanpa sebab kecuali kecemasan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata, isu nelayan di Kuala Kedah yang tidak boleh membawa keluar hasil laut dari kawasan PKPD sudah diselesaikan.

“Tiada masalah untuk nelayan keluarkan hasil tangkapan, keputusan sudah dibuat sebab hasil laut cepat rosak jadi mereka boleh bawa keluar untuk dipasarkan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 1,000 nelayan di Kuala Kedah terjejas pendapatan apabila tidak dapat keluar ke laut dan menghantar hasil tangkapan ikan berikutan penguatkuasaan PKPD di kawasan itu bermula 6 September.

PKPD Kuala Kedah dilaksanakan sehingga 19 September kecuali di tiga kampung iaitu Kampung Teluk Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Lapan laluan ditutup di Kuala Kedah