Penggunaan bilik acu pakaian di negeri Fasa Satu, Dua PPN dibenarkan

Alexander Nanta
Alexander Nanta
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelanggan kedai pakaian, fesyen dan aksesori termasuk gedung serba-serbi di negeri Fasa Satu dan Dua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan menggunakan bilik acu pakaian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk menggunakan bilik acu pakaian itu merangkumi penyediaan sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan.

Kedai pakaian, fesyen dan aksesori telah dibenarkan beroperasi sejak 16 Ogos lepas namun kemudahan acu pakaian tidak dibenarkan ketika itu.

Alexander dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kedai bunga dan nurseri serta kedai aktiviti luar termasuk peralatan perkhemahan dan memancing turut dibenarkan beroperasi di negeri fasa satu dengan SOP tempoh masa pelanggan dalam premis dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.

Mengenai kelonggaran di negeri fasa dua, beliau berkata, kemudahan pandu uji kenderaan dibenarkan di pusat pengedaran dan jualan kenderaan, manakala bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, penggunaan sampel penguji hanya dibenarkan dengan khidmat rundingan oleh pakar runding atau pekerja.

Alexander berkata, semua aktiviti perkhidmatan di kedai gunting rambut, penggaya rambut dan salun atau pusat kecantikan dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga PPN.

Negeri di bawah Fasa Satu PPN adalah Kedah dan Johor; Fasa Dua terdiri daripada Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; manakala Fasa Tiga adalah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.

“Pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan kesemua sektor di bawah sektor perdagangan pengedaran, pemborongan dan peruncitan tidak memberi kesan kepada penularan semula wabak Covid-19 dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk pertanyaan lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada spip@kpdnhep.gov.my. - Bernama